RAYUAN Najib Razak terhadap penarikan balik sijil pemindahan berkaitan pendakwaan kes SRC International hanya taktik untuk melengahkan perbicaraan kes terhadapnya, kata Peguam Negara Tommy Thomas.
Thomas memberitahu Mahkamah Rayuan Hari ini bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membenarkan pihak pendakwa raya menarik balik sijil pemindahan pertuduhan rasuah itu adalah sah dan mengikut perlembagaan.
Beliau menuduh pasukan peguam bela bekas perdana menteri itu sengaja melengahkan perbicaraan, di mana ia pada awalnya ditetapkan bermula 12 Februari.
“Kedua-dua pihak bersetuju kes itu perlu didengar di Mahkamah Tinggi. Tidak ada perbalahan tentang perkara itu,” katanya di Mahkamah Rayuan hari ini dalam permohonannya membantah rayuan Najib.
“Tetapi perayu membangkitkan pelbagai isu untuk melengahkan perbicaraan, di setiap peringkat dalam kes ini. Mereka mencabar kuasa pendakwa raya dalam rayuan ini tidak berasas, dan kami berharap rayuan itu ditolak.”
Thomas berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang ditetapkan untuk mendengar kes SRC International membabitkan Najib, ada bidang kuasa untuk memindahkan semula kes itu kepadanya dari mahkamah lebih rendah.
“Sebaik saja sijil itu ditarik balik, kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen di mana kes itu pada asalnya didaftarkan.
“Tidak munasabah untuk mencadangkan perayu perlu hadir secara fizikal ke mahkamah sesyen sebelum hakim Mahkamah Tinggi boleh bertindak secara suo motu mengikut Seksyen 417(2) Kanun Prosedur Jenayah,” katanya. – 18 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen