POLIS anti keganasan Australia menggeledah dua rumah berkaitan dengan pengganas yang menyerang dua buah masjid di New Zealand menyebabkan 50 orang terbunuh, kata polis.
Rumah terbabit terletak di bandar New South Wales di Sandy Beach dan Lawrence, berhampiran bandar Grafton yang mana pelampau kulit putih Brenton Harris Tarrant, 28 yang melakukan keganasan itu dibesarkan.
“Sasaran utama penggeledahan ini dibuat adalah bagi mencari bukti atau bahan yang mungkin dapat membantu polis New Zealand dalam siasatan mereka,” kata polis dalam satu kenyataan.
Menurut polis, keluarga Tarrant memberikan kerjasama mereka dengan siasatan itu, namun tiada maklumat diperoleh yang mencadangkan terdapat ancaman terhadap masyarakat di situ.
Tarrant, seorang pelampau kulit putih, menghabiskan masa mudanya di Grafton tetapi telah mengembara ke luar negara sejak sedekad lalu dan tinggal di Dunedin, New Zealand sejak beberapa tahun lalu.
Dia didakwa melakukan pembunuhan kejam itu di negara berkenaan pada Jumaat yang menyebabkan 50 orang terbunuh manakala 50 lagi cedera di dua masjid di Christchurch.
Menteri Dalam Negeri Australia Peter Dutton berkata, Tarrant hanya berada di Australia 45 hari sejak tiga tahun lalu dan tidak tersenarai dalam sebarang seanrai pemantauan keganasan.
Beliau turut menolak kritikan terhadap agensi anti keganasan Australia yang mengabaikan ancaman pelampau seperti Tarrant kerana terlalu memfokuskan untuk memerangi kumpulan radikal Islam. – AFP, 18 Mac, 2019
Komen