Kos tinggi, Umno tak jadi saman wakil rakyat keluar parti


SM Amin

Umno tidak teruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya kerana kos yang tinggi dan hanya mahu tumukan kepada penstrukturan dalaman parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2019

UMNO tidak meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang kini menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk mengelak menanggung kos tinggi, kata sumber parti.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan enggan meneruskan tindakan tersebut dan sebaliknya mahu fokus kepada penstrukturan dalaman parti, kata sumber.

“Tok Mat berpendapat adalah lebih penting pada waktu ini Umno fokus dengan mengukuhkan parti itu sendiri.

“Selain daripada itu, faktor kos juga menjadi pertimbangan utama,” kata sumber yang terlibat dalam proses perundangan ini.

Saman itu dimulakan sebelum Ahmad Zahid Hamidi sudahpun memutuskan untuk bercuti dan sebelum tugas presiden parti itu disandang oleh Mohamad.

Ahmad Zahid mengumumkan bahawa Umno menghantar writ saman ke atas wakil rakyat terbabit sewaktu menyampaikan ucapan dasar presiden sempena perhimpunan agung parti September lalu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berpendapat apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk Umno memfokuskan pengukuhan parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2019

Pada waktu itu, Zahid berkata walaupun sukar untuk menyekat mereka daripada keluar parti, tindakan tersebut terpaksa diambil bagi menghormati kehendak ahli Umno yang berasa dikhianati.

Dalam writ saman itu, Umno menuntut bayaran balik kos dan mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dan Barisan Nasional.

Setiausaha agung Umno Annuar Musa turut mengumumkan saman dikemukakan dua ahli Parlimen, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai).

Kedua-duanya yang kini menyertai Bersatu merupakan antara yang terawal keluar parti – Dr Azmi pada 24 Jun dan Ermieyati pada 1 Julai.

Pada Disember, sembilan Adun dan lima ahli Parlimen Umno keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap kepemimpinan parti.

Pada Februari, Annuar mengumumkan parti itu akan mengemukakan saman ke atas semua wakil rakyat tersebut, dan akan tetap diteruskan walaupun jika mereka mahu kembali menyertai Umno.

Bagaimanapun, setakat ini hanya Mas Ermieyati dan Noor Azmi yang menerima saman.

Umno yang menang 54 kerusi Parlimen dalam PRU14 lalu kini hanya tinggal 37 kerusi selepas 17 ahli parlimen parti itu bertindak keluar parti. – 18 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen