Dua Merdeka impikan kebebasan dari kepayahan hidup


Nabihah Hamid

Wang Merdeka yang mengusahakan kedai makan di Batu Pahat, Johor mengakui agak sukar untuk menjalankan perniagaan lebih-lebih waktu sekarang dengan kos yang tinggi. – Gambar The Malaysian Insight, 10 September, 2017.

Citra sebuah negara dilihat pada cerita-cerita rakyatnya. The Malaysian Insight bertemu dengan warga yang lahir pada 1957 dan sebaya dengan usia Malaya merdeka. Mereka berkongsi cerita untuk kita melihat apa maknanya jadi warga Malaysia.

Doktor yang menyambut kelahirannya pada awal pagi 31 Ogos 1957 menamakannya Wang Merdeka tetapi ketika umurnya kini 60 tahun, warga emas itu terus memerah keringat menyara kehidupan kerana kos sara hidup yang tinggi. 

“Kita hendak bercakap tetapi rasa perit dan sakit hati. Malaysia banyak duit dan banyak perkara kita boleh buat. Kenapa sekarang masih susah. Dulu gaji tiga ribu (RM3,000), boleh sara satu keluarga enam beranak.

“Sekarang untung lapan ribu (RM8,000) kenapa tak cukup? Ada sikitlah gaji lebih kalau campur sama gaji isteri,” kata Wang Merdeka yang berasal dari Johor.  

Pengusaha kedai makan di Batu Pahat itu mengakui agak sukar untuk menjalankan perniagaan lebih-lebih waktu sekarang dengan kos yang tinggi. 

“Sekarang saya masih boleh berniaga tetapi berapa banyak kamu dapat untung kamu kena simpan. 

“Kos sara hidup meningkat, kita hidup susah.Jangan cakap banyak, kita kena kerja sampai tua,” keluhnya kepada The Malaysian Insight. 

Bukan Wang Merdeka saja yang bekerja sendiri terpaksa bekerja sampai tua, mereka yang bekerja dalam sektor awam juga kini digalakkan untuk bekerja lama-lama apabila tempoh persaraan dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001 manakala daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008. Ia kemudian ditingkatkan kepada 60 tahun pada tahun 2012.

Hampir 30 tahun berniaga, Wang Merdeka masih tidak ada rumah. Bersama isteri dan dua anak perempuannya, mereka tinggal di rumah kedai yang juga pintu rezeki.

Harapannya hanya satu iaitu mahu kos sara hidup diselesaikan dan tiada lagi kemiskinan dalam negara tercinta. 

Mohd Medaka (tiga dari kiri) ketika menghadiri program anjuran Jabatan Penerangan meraikan seramai 22 Anak-anak Malaysia yang lahir pada 31 Ogos dan 16 September bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh Said Keruak di Angkasapuri, RTM pada 15 Ogos lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 10 September, 2017.

Tidak sekadar berkongsi tarikh kelahiran, Mohd Medaka Che Soh juga mempunyai harapan sama dengan Wang Merdeka. 

Pesara guru mata pelajaran Sejarah itu juga mahu ekonomi Malaysia terus maju terutamanya di negeri pantai timur. 

“Malaysia selama 60 tahun sudah banyak pembangunan tetapi di negeri pantai timur berbanding lain masih mundur. Harap-harap beberapa projek mega akan dibangunkan untuk selesaikan masalah.

“Kita kena usaha lebih lagilah untuk mengurangkan kos sara hidup dan usaha untuk bangunkan pantai timur,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau berharap nilai mata wang akan terus kukuh kerana ia secara langsung akan merangsang ekonomi negara.

“Harapan saya agar ekonomi malaysia akan berkembang lebih baik lagi. Nilai mata wang kita rendah, jadi kerajaan boleh laksanakan usaha mempertingkat nilai mata wang negara kita.

“Saya sekarang mahu berehat tapi lepas ini kena fikir macam mana nak pastikan duit sentiasa ada,” katanya. – 10 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen