LAPORAN polis telah dibuat berhubung rakaman video mengenai anak lelaki Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Li Yipeng, yang dipelawa untuk menaiki kereta persendirian, lapor The Straits Times hari ini.
Laporan itu yang memetik kenyataan polis, menyatakan bahawa kereta itu dipandu oleh seorang lelaki warga Singapura berusia 31 tahun.
Kenderaan tersebut dipercayai bukan kereta sewa peribadi, menurut laporan dalam talian.
Menerusi rakaman video tersebut, laporan itu menyatakan terdengar lelaki itu berulang kali meminta Li, 36, untuk mengesahkan identiti, alamat rumahnya dan juga pengaturan keselamatannya.
Polis berkata rakaman video itu dibuat tanpa pengetahan dan kebenaran Li.
Laporan itu berkata pihak polis sedang menyiasat perkara itu dengan bantuan pemandu terbabit kerana bentuk soalan menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan yang serius, berdasarkan latar belakang Li.
Lelaki berusia 31 tahun itu dilaporkan sebelumnya pernah disabitkan kerana memandu kenderaan tanpa izin pemilik di bawah Akta Lalulintas Jalan Raya.
Kesalahan memandu kenderaan tanpa insurans yang sah di bawah Akta tersebut telah diambil kira semasa menjatuhi hukuman pada 2014, kata laporan itu.
The Straits Times melaporkan bahawa polis juga sedan menyiasat pengedaran gambar yang menampilkan cacatan dalam Facebook yang dikatakan dibuat oleh Perdana Menteri Lee tentang kejadian itu.
Kandungan foto itu didapati menjadi palsu dan seorang lelaki berusia 39 tahun sedang membantu polis dalam siasatan mengenai perkara ini, kata laporan itu.
Menurut laporan, imej itu telah tersebar menerusi platform dalam talian seperti Telegram dan Facebook.
Setiausaha akhbar Lee, Chang Li Lin dilaporkan berkata bahawa Perdana Menteri menyedari tentang kejadiantu, video dan posting palsu dalam Facebook.
Chang menambah bahawa oleh kerana perkara itu disiasat oleh polis, Lee tidak akan memberi komen lanjut, tetapi mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyatakan keprihatinan mengenai perkara itu. – Bernama, 17 Mac, 2019.
Komen