Filipina secara rasmi keluar ICC bermula hari ini


Presiden Filipina Duterte dikecam pihak antarabangsa dan ICC kerana melancarkan perang dadah yang mengorbankan ribuan nyawa sejak mentadbir negara itu. – Gambar EPA, 17 Mac, 2019.

FILIPINA secara rasmi keluar daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hari ini walaupun tribunal itu berikrar untuk meneruskan siasatan terhadap kes pembunuhan dalam kempen memerangi dadah yang dilancarkan Manila.

Di bawah peraturan ICC, pengunduran Manila berkuat kuasa setahun selepas negara itu memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang hasrat untuk keluar dari satu-satunya tribunal jenayah antarabangsa.

Filipina merupakan negara kedua yang berbuat demikian selepas Burundi.

Manila mengambil pada Mac 2018 dengan menghantar surat rasmi untuk menarik diri dari Statut Rome selepas tribunal itu melakukan siasatan awal pada Februari 2018 ke atas Presiden Rodrigo Duterte yang melancarkan kempen perang dadah, menyaksikan ribuan rakyat terbunuh dan mengundang kecaman antarabangsa.

Pada Jumaat lalu, PBB mengesahkan pengunduran Filipina dari ICC akan berkuat kuasa pada 17 Mac, iaitu setahun selepas Manila menghantar surat tersebut.

Jurucakap presiden Salvador Panelo hari ini berkata negara itu tidak pernah secara rasmi menandatangani perjanjian di bawah tribunal itu.

“Pendirian kami tentang perkara ini masih jelas, sama dan tidak berubah.

“Filipina tidak pernah menjadi sebahagian daripada Statut Rom yang mewujudkan ICC,” katanya.

“Mengikut kefahaman kami, tribunal ini tidak wujud dan tindakannya tidak boleh diambil kira.”

ICC menetapkan sebarang perkara yang dipertimbangkan sebelum sesebuah negara menarik diri daripada tribunal itu, masih terletak di bawah bidang kuasanya. – AFP, 17 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen