WALAUPUN baru berusia lima bulan, Parti Palang Pracharath berhasrat memberi saingan sengit kepada parti politik lain yang telah lama berkubu di wilayah bergolak selatan Thailand, pada Pilihan Raya Umum Thailand, Ahad hadapan.
Kehadiran Ketua Parti Palang Pracharath Uttama Savanaya dan beberapa anggota pentabdiran parti itu di sini hari ini membuktikan bahawa ia bukan calang-calang parti apabila lebih 20,000 orang menghadiri majllis ceramah dan sesi memperkenalkan calon ketiga-tiga wilayah itu.
Dalam ucapannya, Uttama memberi jaminan Parti Palang Pracharath sedia membela nasib rakyat Thailand, khususnya di wilayah selatan.
“Sebelum ini Parti Palang Pracharath tidak dikenali oleh penduduk di selatan Thailand kerana ia baru berusia lima bulan. Ia jauh lebih muda dari sesetengah parti yang usianya hampir 100 tahun, namun kami mampu menentukan masa depan negara,” katanya.
Parti Palang Pracharath mencalonkan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha sebagai calon Perdana Menteri dalam pilihan umum ini.
Parti Palang Pracharath ditubuhkan empat menteri kerajaan junta Thailand pada akhir September lalu, termasuk Uttama yang merupakan Menteri Industri.
Uttama berkata pilihan raya pada Ahad depan merupakan yang paling penting dan para pengundi perlu membuat keputusan bijak untuk menentukan masa depan negara.
“Selama 10 tahun lepas negara ini berpecah belah kerana perebutan kuasa. Sekarang, kita ada pilihan baru dan Palang Pracharath merupakan pilihan untuk menyatupadukan rakyat di negara ini,” katanya yang merujuk kepada konflik politik bekas Perdana Menteri, Thaksin dan Yingluck Shinawatra.
Pada pilihan raya kali ini, 11 kerusi parlimen, masing-masing empat di Narathiwat dan Pattani serta tiga di Yala akan menjadi rebutan.
Pada pilihan raya umum 2014, Demokrat memenangi sembilan daripada 11 kerusi itu, iaitu empat di Narathiwat, tiga di Yala dan dua di Pattani. – Bernama, 17 Mac, 2019.
Komen