Tak mampu jawab isu RM1.4 juta, Anwar harap PAS tak bohong


Timothy Achariam

Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberitahu PAS agar berhenti memfitnah Pakatan Harapan dalam menghadapi PRK Rantau di Mambau, Negri Sembilan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Mac, 2019.

PAS seakan kekeringan idea menjawab isu bayaran RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown lantas membuat cerita fitnah mengenai kerajaan Pakatan Harapan, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah hari ini menegaskan ada plot oleh sekelompok pimpinan Pakatan Harapan untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dan ia akan berjaya sekiranya PAS tidak menggagalkan rancangan itu.

Amar berkata pemimpin partinya mempunyai maklumat bahawa ia akan berlaku dan telah mendedahkan rancangan bagi mencegahnya.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut hari ini, ketika sesi pertemuan calon pilihan raya Rantau Dr S. Streram Sinnasamy di Mambau, Negri Sembilan.

“Mereka (PAS) tidak mempunyai idea lain dan mereka tidak boleh menjawab isu RM1.4 juta, jadi mereka mencari cara baru (menyerang PH),” kata Anwar, merujuk kepada dakwaan bahawa dia mempunyai bukti bahawa parti Islam itu telah membayar editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown sebanyak RM1.4 juta bagi menyelesaikan saman fitnah yang difailkan oleh presiden PAS tersebut terhadapnya.

Sarawak Report mengesahkan bahawa PAS membayar sebanyak RM1.42 juta terhadap portal itu bagi menyelesaikan saman fitnah yang dikemukakan sebelum ini. PAS kemudian menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan ia mempunyai dokumen bagi membuktikan dakwaan yang didedahkan presiden PKR itu adalah khabar angin.

Anwar dalam ucapannya hari ini memberi amaran kepada parti Islam supaya tidak berbohong kepada rakyat.

“Mereka adalah parti Islam, mereka tidak sepatutnya berbohong,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyaman Rewcastle-Brown di London berhubung artikel Sarawak Report yang bertajuk “As Najib denies all over 1MDB, let’s not forget his many other criminal connections” yang diterbitkan pada 6 Ogos 2016.

Artikel itu mendedahkan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak berjaya mendapat sokongan PAS terhadap  Barisan Basional dengan menyalurkan RM90 juta kepada pimpinan tertinggi parti Islam tersebut.

Walau bagaimanapun, Hadi kemudiannya membatalkan kes tersebut di pertengahan dan memilih untuk menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah. – 17 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen