SEORANG lelaki yang kehilangan isterinya dalam serangan ganas di Christchurch berkata beliau tidak menyimpan benci terhadap lelaki bersenjata itu, dengan mengatakan kemaafan adalah jalan terbaik untuk terus bergerak ke depan.
“Saya akan katakan padanya ‘Saya sayang dia sebagai seorang manusia’,” kata Farid Ahmad kepada pemberita AFP. “Saya tidak dapat menerima apa yang dilakukannya, apa yang dia buat adalah perkara yang salah.”
Ketika ditanya apakah beliau dapat memaafkan suspek berfahaman ketuanan kulit putih berusia 28 tahun tersebut, dia berkata: “Sudah tentu. Perkara terbaik adalah kemaafan, kemurahan hati, kasih sayang, dan sifat positif.”
Husna Ahmed, 44, adalah antara 50 orang mangsa yang terkorban, dan sekurang-kurangnya empat orang wanita terbunuh dalam serangan ganas terhadap dua masjid yang sedang menunggu waktu untuk menunaikan solat Jumaat.
Apabila kejadian tembakan bermula, Husna membantu beberapa orang lain melarikan diri dari dewan wanita dan kanak-kanak.
“Dia berteriak ‘keluar ikut sini, cepat-cepat’, dan dia bawa banyak anak-anak dan wanita ke tempat yang selamat,” kata Ahmad.
“Kemudian dia kembali untuk memeriksa saya, kerana saya berada di kerusi roda, dan ketika dia menghampiri pintu, dia ditembak, dia sibuk menyelamatkan nyawa, sehingga melupakan dirinya sendiri.”
Ahmad, 59, yang berkerusi roda sejak dipukul oleh seorang pemandu mabuk pada tahun 1998, percaya beliau dapat melarikan diri dari terkena peluru berpunca kerana lelaki ganas itu sedang memberi tumpuan kepada sasaran lain.
“Lelaki itu menembak satu orang, sebanyak dua tiga kali, mungkin itu beri sedikit masa untuk kami keluar… Bahkan orang yang telah mati ditembak beberapa kali.”
Ahmad, yang menjual produk homeopati, tidak melihat isterinya ketika beliau meninggalkan masjid dan hanya mengetahui kematiannya selepas seseorang menunjukkan gambar tubuh isterinya.
“Gambarnya di media sosial, jadi ada orang yang menunjukkan gambar dan saya mengenalinya dengan mudah.” katanya lagi.
Suspek berwarganegara Australia, Brenton Tarrant, masih belum memohon rayuan dalam satu pertuduhan bunuh setakat ini. – AFP, 17 Mac, 2019.
Komen