Siar keganasan secara langsung, New Zealand mahu jawapan Facebook


Perdana Menteri Jacinda Ardern mengatakan ketua pegawai operasi Facebook Sheryl Sandberg sudah dihubungi berhubung penyiaran video serangan pengganas yang disiarkan secara langsung. - Gambar EPA, 17 Mac, 2019.

PERDANA Menteri New Zealand, Jacinda Ardern akan mendapatkan jawapan daripada pihak pengurusan laman sosial Facebook dan syarikat sosial media lain bagaimana serangan yang mengorbankan 50 orang di dua masjid disiarkan secara langsung di platform mereka.

Jacinda berkata, banyak persoalan yang perlu dijawab oleh syarikat teknologi gergasi itu dan mengesahkan ketua operasi Facebook, Shryl Sandberg sudah menghubungi beliau.

Rakaman video ngeri yang dirakam penembak di luar masjid sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai di kongsi secara ‘live streaming’ di laman Facebook sebelum ia dipadam syarikat terbabit.

Bagaimanapun, rakaman sepanjang 17 minit itu dikongsi secara berulang di laman YouTube dan Twitter dan ketika ini semua syarikat terbabit berusaha memadamkan rakaman terbabit.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk memadamkan semua rakaman atau menghapuskan beberapa rakaman yang disebarkan selepas serangan pengganas ini.

“Apa pun terpulang kepada platform terbabit untuk menggunakan cara termudah untuk menghapuskan rakaman terbabit. Saya fikir ada soalan lanjut yang perlu mereka jawab,” kata Ardern.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, pegawai Facebook New Zealand, Mia Garlick berkata mereka akan bekerja sepanjang masa untuk menghapuskan semua kandungan yang menyalahi peraturan.

“Dalam tempoh 24 jam pertama kami sudah menghapuskan 1.5 juta video serangan global, lebih daripada 1.2 juta daripadanya sudah disekat ketika ia sedang dimuat naik,” kata syarikat itu.  – AFP, 17 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen