MUJAHID Yusof Rawa menangkis kritikan bahawa beliau hanya menumpukan isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dan tidak faham isu dibangkitkan Perhimpunan Hari Wanita Sedunia.
Menteri hal ehwal agama Islam itu seterusnya menyalahkan penganjur yang tidak sensitif hingga membiarkan tuntutan hak wanita tenggelam dengan penglibatan golongan LGBT dalam perhimpunan itu.
“Bukan saya tak nak dengar isu wanita, saya kata penganjur tidak sensitif dengan apa berlaku. Kalau ada keganasan ayuh kita bincangkan bersama.
“Saya tidak menyokong penindasan dan keganasan terhadap wanita. Tapi isu yang bagus itu tenggelam hanya kerana seorang dua yang laung hidup LGBT dan saya rasa wanita pun tidak boleh terima,” katanya.
Beliau mengulas kritikan aktivis wanita Marina Mahathir yang mendakwa beliau tidak faham isu dibangkitkan dalam perhimpunan 9 Mac itu dan dan terlalu fokus dengan kehadiran LGBT.
Mengulas lanjut, Mujahid berharap perhimpunan tersebut pada masa akan datang diterajui wanita dan bukan golongan LGBT kerana amalan kumpulan itu bertentangan dengan norma masyarakat.
“LGBT jelas sekali tak selari dengan norma masyarakat.
“Tapi dalam bentuk perjuangan inilah kita tidak boleh terima,” katanya lagi dalam program Seminar Hari Wanita Sedunia 2019 di Institut Kefahaman Islam Malaysia di Kuala Lumpur.
Marina merujuk kepada satu kenyataan Wan Saiful mendakwa perhimpunan wanita tidak harus dicampur aduk dengan agenda LGBT kerana akan menjadi provokasi terhadap kestabilan negara.
Beliau juga merujuk kenyataan Mujahid yang berkata perhimpunan tersebut menyalahguna ruang demokrasi negara ini..
Dalam satu kenyataan di Twitter, Marina menyifatkan pendirian pemimpin kerajaan itu memalukan.
Tindakan aktivis yang menaikkan bendera dan memegang sepanduk pro-LGBT di perhimpunan berkenaan kini disiasat polis mengikut Akta Hasutan. – 17 Mac, 2019.
Komen