LAMAN sosial Twitter menggantung akaun Will Connolly, remaja yang bertanggungjawab memecahkan telur di kepala seorang ahli politik rasis Australia, Fraser Anning.
Semakan di Twitter menunjukkan akaun Connolly sudah pun digantung.
Connolly bertindak memecahkan telur di kepala Anning sewaktu senator itu sedang ditemuramah oleh seorang wartawan.
Connolly bertindak demikian apabila Anning mempertahankan kenyataannya berhubung serangan pelampau kulit putih yang mengorbankan 50 orang Islam di New Zealand pada Jumaat lalu.
Connolly dalam tulisan terakhirnya sebelum akaun itu digantung berkata beliau berbangga dengan tindakan memecahkan telur di kepala Anning.
“Ini adalah saat saya berasa begitu bangga untuk wujud sebagai manusia.
“Biar saya beritahu, Muslim bukan pengganas dan keganasan tiada agama.
“Semua yang menganggap Muslim sebagai masyarakat pengganas mempunyai otak yang kosong seperti Anning,” kata Connolly.
Tulisan itu disertakan dengan gambar menunjukkan telur tersebut bersepai apabila dipecahkan di kepala Anning.
Kejadian itu berlaku dalam satu perhimpunan Anning bersama kumpulan pelampau kulit putih di Moorabbin, Melbourne semalam.
Tindakannya itu juga menerima sokongan meluas pengguna Internet yang menganjurkan kempen mengutip derma dalam talian untuk remaja tersebut, yang kini mengutip sehingga AS$22,000.
Satu petisyen dalam talian juga dilancarka untuk menggesa Anning disingkirkan dari Parlimen Australian, yang mengutip 700,000 tandatangan dalam msa kurang dua hari.
Connolly ditampar beberapa kali oleh Anning selepas memecahkan telur tersebut, dan seterusnya ditangkap dan dikendalikan dengan kasar oleh penyokong senator tersebut.
Remaja tersebut ditahan polis dan dilepaskan tanpa sebarang tuduhan.
Beliau kini mendapat gelaran Egg Boy di media sosial yang menjulangnya sebagai seorang wira. – 17 Mac, 2019.
Komen