MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menafikan beliau menukar pendirian ke atas status penceramah kontroversi Zakir Naik.
Jelasnya, pertemuan dengan Zakir pada Rabu lalu hanya membabitkan perbincangan mengenai model Islam di negara ini dan tidak membabitkan kebenaran untuk penceramah itu berceramah di Malaysia.
“Pertemuan itu melibatkan (penjelasan) model Islam, rahmatan lil alamin, maqasid syariah macam mana saya nak memahamkan beliau dengan konsep relatifnya di Malaysia.
“Dan saya rasa itu pertemuan baik saya dapat jelas dasar pentadbiran Islam pada hari ini dan dengan itu beliau dapat gambaran.
“Dan lebih penting pihak di luar sana yang menimbulkan permusuhan saya dengan beliau dapat terlerai dan sebelum ini saya belum dapat menjelaskan kepada beliau,” katanya kepada pemberita.
Rabu lalu Mujahid memuat naik gambar beliau bersama Zakir di laman Facebook dan ia mengundang kritikan bukan saja orang ramai bahkan pemimpin agama bukan Islam.
Ini memandangkan pada September lepas, Mujahid dalam kenyataannya menyifatkan ceramah Zakir merendahkan agama lain dan pendekatan itu tidak diterima di Malaysia.
Setiausaha Agung Majlis Kristian Malaysia Dr Herman Shastri berkata pertemuan itu seolah menunjukkan menteri itu menerima pendekatan penceramah kontroversi itu.
Presiden Malaysia Hindu Sangam R S Mohan Shan pula berkata komuniti India masih kecewa dengan kenyataan Zakir bersabit kefahaman Hindu sebelum ini.
Pertubuhan itu juga dan pernah memfailkan petisyen agar penceramah itu dibawa pulang ke India untuk menghadapi tuduhan penyelewengan wang dan menyokong keganasan.
Mujahid bercakap kepada pemberita hari ini selepas merasmikan program Seminat Hari Wanita Sedunia 2019 di Institut Kefahaman Islam Malaysia. – 17 Mac, 2019.
MENYUSUL
Komen