RAMAI dalam kalangan mangsa serangan pengganas di Christchurch, New Zealand merupakan pelarian dari negara bergolak di Timur Tengah, menurut laporan agensi.
Antaranya, Khaled Mustafa yang membawa keluarganya lari dari perang di Syria – hanya untuk mati di muncung senapang seorang pelampau kulit putih, Brenton Tarrant pada Jumaat lalu.
Mustafa bersama isteri dan anak-anak mereka tiba di Christchurch beberapa bulan lalu.
Beliau meninggal dunia bersama 49 orang yang lain dalam serangan ke atas dua masjid di bandar New Zealand itu.
Seorang anaknya, Hamza dilaporkan masih hilang dan seorang lagi menjalani pembedahan di hospital.
Mangsa pertama yang dikenalpasti adalah Daoud Nabi, 71 yang meninggalkan Afghanistan lebih empat dekad lalu.
Anak lelakinya dilaporkan berkata, bapanya menggambarkan New Zealand sebagai “syurga”.
Seorang lagi anaknya, Yama dilaporkan lewat tiba ke masjid. Apabila sampai, keadaan di masjid itu kacau-bilau dan ramai yang meninggal dunia.
Di luar masjid itu, seorang lelaki memberitahunya, bapanya Daoud menyelamatkan nyawanya.
Yama memberitahu Sydney Morning Herald, beliau menonton rakaman siaran langsung yang dibuat semasa serangan oleh pengganas tersebut beberapa kali.
Saudaranya Omar berkata, bapa mereka berdiri di hadapan jemaah lain untuk melindungi mereka, dan kemudiannya gugur.
Satu lagi keluarga yang menjadi mangsa serangan adalah pelarian dari Somalia. Si bapa, Adan Ibrahin Dirie cedera, empat anaknya berjaya melarikan diri tetapi yang bongsu, Abdullahi, maut.
Pengganas berkenaan, Brenton Tarrant mengirim manifesto antiimigran dan anti-Islam kepada perdana menteri New Zealand dan memuatkannya di media sosial sebelum melancarkan serangan.
Lelaki berusia 28 tahun itu mendakwa melihat bukti pencerobohan oleh imigran Muslim di negara seperti Perancis, antara negara yang dilawati lelaki itu.
Pemuda berkenaan dilaporkan melihat perkara itu sewaktu mengembara ke seluruh dunia dengan menggunakan harta pusaka ayahnya.
Manifestonya turut menyenaraikan ideologi antiimigran dan neofasis serta kebimbangan mengenai kemerosotan ketamadunan Eropah.
Tarrant juga percaya akan dijatuhkan hukuman penjara selama 27 tahun sahaja seperti Nelson Mandela dan akan dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan.
Sewaktu dihadapkan ke mahkamah semalam, Tarrant tersenyum sinis dan membuat satu isyarat tangan pelampau kulit putih. – 17 Mac, 2019.
Komen