RATUSAN agensi kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC) memelihara ‘toyol’ di kerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP).
Kenapa digelar ‘toyol’?
Jawapannya mudah. ALP dilantik tapi sekadar cukupkan korum mesyuarat. Tanpa latar belakang bidang berkaitan agensi, ALP tidak mampu memainkan peranan. Sekadar hadir tapi tidak mampu menyumbang secara konstruktif dalam konteks kepakaran. Malah, zero idea.
Lebih menyedihkan, banyak ALP langsung tidak memahami operasi organisasi yang disertai.
Diberi jawatan pun sebab ‘kabel’ belaka. Justeru, penilaian harus dilakukan. Reformasi organisasi tidak akan berjaya sekiranya pemegang taruh polisi yang dilantik tidak berkelayakan. ALP tidak wajar bersifat melengkapkan korum dan forum sahaja.
ALP wajar menjadi kumpulan profesional di peringkat pelaksanaan dan pengukuhan reformasi polisi. Ada kepakaran dan mahir memainkan peranan. Tidak wajar sifatnya hanya sekadar ada.
Tidak hairanlah, di kalangan penjawat agensi dan masyarakat, ada gurauan sinikal mengenai ALP.
Gurauannya ‘toyol’. Bunyinya jenaka, tapi kesan politiknya besar. Ia menjejaskan intergriti agensi dan GLC. ALP jenis ini digelar ‘toyol’ kerana kehadiran dibayar elaun. Walaupun ALP hadir ke mesyuarat tanpa perlu membawa otak.
Itulah ‘toyol’. Hadir sekadar sapu elaun.
Biasanya, ALP jenis ini akan hadir dengan sut yang kemas dan lawa. Malah, ada yang bertali leher merah lurus melebar macam Presiden Donald Trump layaknya.
Sayangnya, kehadirannya sekadar mencukupkan korum. Niat hadir sebab hendak sapu elaun walaupun hanya duduk melepet dalam mesyuarat.
Jenaka inilah yang akhirnya mencipta sindiran ALP ‘toyol’.
Jangan terkejut. Ramai berebut dan sanggup mati melobi menjadi ALP. Agensi atau GLC menyediakan elaun yang bukan kecil. Antara RM500 hingga RM3,000 bagi sekali kehadiran mesyuarat.
ALP ‘toyol’ tetap selamba hadir mesyuarat walaupun kerap kali dengan sengaja tertinggal akal di tangga rumahnya.
Elaun dikebas, namun peranannya NIL. Akal dan idea ALP jenis ini tidak pernah berfungsi dalam mesyuarat. Hadir hanya ada dan mengiyakan saja semua minit mesyuarat.
Malah, ada antaranya semasa era kerajaan PH memegang tiga atau empat agensi serentak. Kalau zaman BN, boleh sampai berbelas agensi.
Elaun bulanan dengan menjadi ALP sekalipun bebal, mampu mencecah atau melebihi gaji seorang menteri.
Jadi, bukanlah aneh, sekiranya ada jenaka sinis yang mencela ALP jenis ini sebagai ‘toyol’!
AJK cap ayam
Itu dalam agensi atau GLC. Dalam persatuan, lain pula bencananya.
Persatuan sejak dulu dipenuhi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) cap ayam. Maksudnya, banyak berkokok tapi langsung tidak bertelur. Kalau lelaki, adalah dua biji telur, tapi sebu dan tidak mampu mencipta idea.
Hendak jadi AJK persatuan tidaklah susah. Banyakkan bercakap sebelum mesyuarat permilihan dan banyakkan lagi bercakap pada hari pemilihan. Ahli mudah tertipu dengan saudagar lidah.
Itu hakikat berpersatuan. AJK mesti berwajah politik. Sayangnya, setelah dipilih, AJK jenis ‘otak pada lidah ini’, haram tidak berfungsi.
Selain menjaja nama persatuan untuk menaikkan ‘harga diri’. Bagi persatuan yang mempunyai banyak potensi untuk menyapu kepentingan demi diri sendiri, AJK jenis ini memang licik menghidu peluang.
Bukan sedikit kes AJK menyapu peluang untuk diri sendiri. Walaupun peluang sepatutnya diserahkan demi kepentingan ahli.
Ada AJK, terutama persatuan penjaja, mendaftarkan pelbagai perniagaan dengan menggunakan nama proksi. Sama ada anak dan isteri (atau isteri-isteri).
Motifnya jelas, semua peluang terutama mendapatkan tapak atau lot perniagaan dikebas sebanyak mungkin. Ahli persatuan, akhirnya mati beragan mengigit jari.
Ini perangai Melayu apabila diberikan amanah berpersatuan. Amanahnya ialah kebas semua peluang dan kenyangkan perut sendiri.
Kaedahnya pula sangat mudah; berpakat saja sesama AJK dan berbedaklah apa saja peluang yang ada.
Ada juga AJK persatuan macam dewa-dewa. Kalau ada majlis, ketrampilannya mengalahkan VIP. Jangan harap ada yang sanggup mengangkat walaupun sebiji kerusi. Apa lagi, mengemaskan kerja-kerja selepas majlis. Memang jangan haraplah. Persatuan jenis ini mencipta AJK sebagai dewa. Manakala, ahli adalah kuli atau hamba sahaya.
Artikel ini tidak perlu menyenaraikan nama dan fakta. Ia rahsia terbuka di dalam semua persatuan di negara ini! Samalah dengan ‘toyol’.
Ia cerita biasa-biasa saja. Toyol memang ada di mana-mana! – 17 Mac, 2019
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen