Padang golf di hutan simpan Pulai? PM kata tak tahu


Asila Jalil

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika mengadakan lawatan ke Litar Antarabangsa Sepang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Mac, 2019

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu tentang padang golf yang didakwa dibina di Hutan Simpan Sungai Pulai di Johor.

“Saya tidak tahu apa-apa,” katanya kepada pemberita di Sepang hari ini ketika diminta mengulas berhubung perkara itu.

Terdapat laporan mengatakan Forest City Golf Resort dibina di Sg Pulai Johor, yang merupakan hutan paya bakau, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis alam sekitar.

Kenyataan itu bagaimanapun bertentangan dengan kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang sebelum ini menyatakan perdana menteri “menyedari” situasi tersebut.

Beliau berkata Dr Mahathir telah meminta Putrajaya melihat perkara itu.

Xavier juga berkata kerajaan hanya boleh meluahkan ketidakpuasan hari kepada kerajaan negeri Johor berhubung perkara itu.

Penasihat kepada Lawyer for Liberty N Surendran kemudian membidas Xavier berhubung kenyataannya dan mengatakan kerajaan tidak terikat kerana kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan berada di bawah Pakatan Harapan.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) berkata, pihak berkuasa dan pemaju perlu mematuhi “dasar pencegahan” dan perlu lebih berhemah apabila melibatkan sumber semula jadi.

Tambahnya, impak bagi projek itu sangat penting. – 17 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen