Dua rakyat Malaysia perlu pembedahan lanjut, remaja lelaki masih hilang


Looi Sue-Chern

Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz (kanan) dan exco kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh (kiri) bersama Mohd Nazril Hisham Omar dan isterinya Zurinawati Mohi. - Gambar oleh Azrul Mahathir Aziz, 17 Mac, 2019.

DUA rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan pengganas di Christchurch Jumaat lalu masih memerlukan pembedahan lanjut manakala remaja lelaki yang hilang masih belum dijumpai.

Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang tiba di Christchurch pagi ini bersama exco kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh sudah menemui ketiga-tiga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.  

Kedua-dua mereka dalam misi kemanusiaan mengiringi ibu dan abang salah seorang mangsa, Rahimi Ahmad, 39, dari Bayan Lepas ke New Zealand.

“Kami tiba di Christchurch kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan dan bertemu dengan beberapa diplomat dan beberapa rakyat Malaysia. Dari lapangan terbang kami terus ke hospital.

“Kami bertemu isteri Rahimi, Nor Azila Abdul Wahid dan ibunya, Rokiah Mohammad juga melihat anaknya yang tidak sedarkan diri. Seorang wakil hospital memberitahu Rahimi dilihat lebih baik hari ini berbanding semalam,” katanya.

Bagaimanapun Rahimi masih memerlukan pembedahan lanjut untuk membuang serpihan peluru, katanya dalam satu mesej suara yang dihantar ke aplikasi WhatsApp wartawan Pulau Pinang.

Rahimi yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang tenusu sedang bersembahyang di Masjid Al-Noor di Deans Avenue ketika kejadian serangan itu berlaku.  

Satu lagi tembakan turut berlaku di masjid di Linwood Avenui.

Setakat ini 50 orang terbunuh dalam dua serangan pengganas berkenaan.  

AFP melaporkan doktor berkeras keras merawat 36 mangsa serangan itu termasuk kanak-kanak.

Azrul berkata, beliau dan Phee juga sudah bertemu dua lagi rakyat Malaysia yang ditembak, Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dan Mohd Tarmizi Shuib, 42, di hospital.

Beliau berkata, Nazril cedera di kaki dan belakang manakala Tarmizi sedang menunggu satu lagi pembedahan susulan.  

“Kami memohon orang ramai berdoa agar semua mangsa segera sembuh.

“Setakat ini masih belum ada berita tentang anak lelaki Tarmizi, Mohd Haziq. Kami berharap dia baik-baik sahaja,” katanya.  

Mohd Haziq, 17, berada di Masjid Al-Noor bersama bapa dan adiknya ketika kejadian serangan berlaku. Dia hilang susulan kejadian berkenaan. – 17 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen