Gedung mewah Paris dipecah, dibakar dalam protes 'jaket kuning'


Penunjuk perasaan jaket kuning bertemur dengan polis anti rusuhan di Paris. Beberapa siri keganasan tercetus akibat tunjuk perasaan yang semakin sukar dibendung pasukan keselamatan di negara itu. – Gambar EPA, 17 Mac, 2019

PENUNJUK perasaan bertindak memecah masuk dan membakar kedai dan perniagaan di Champs-Elysees, Paris pada Sabtu, iaitu 18 minggu selepas protes “jaket kuning” tercetus yang disertai dengan peningkatan keganasan.

Presiden Perancis Emmanuel Macron terpaksa memendekkan lawatan di Pyrenees dan kembali ke Paris bagi mengadakan mesyuarat berhubung krisis itu.

Penunjuk perasaan terus mencetuskan kekacauan di Paris menyebabkan kerosakan di bandar tumpuan pelancong itu.

Emmanuel Macron berikrar untuk mengambil “keputusan tegas” bagi menghalang keganasan daripada berterusan, susulan perbincangan darurat diadakan di kementerian dalam negeri pada Sabtu.

“Hari ini terdapat segelintir individu yang cuba untuk merosakkan negara ini dengan menghancurkan harta benda dan berisiko untuk membunuh,” kata Macron.

“Semua orang yang berada di sana terlibat dalam penyebaran malapetaka di Champs-Elysees,” katanya.

Polis dilihat gagal mengekang penunjuk perasaan apabila mereka terus membanjiri Champs-Elysees, merosakkan harta benda dan kemudian membakar gedung Fouquet, iaitu satu lokasi yang terkenal menjadi tumpuan golongan kaya dan terkenal, serta membakar kedai beg tangan mewah Longchamp, sebuah bank, satu lagi restoran dan beberapa gerai menjual akhbar.

“Sebagaimana majoriti penduduk Perancis rasakan, saya rasa sangat marah hari ini,” kata Perdana Menteri Perancis Edouard Phillipe, yang melawat lokasi terlibat.

“Apa yang berlaku hari ini bukan tindakan penunjuk perasaan, tetapi ia adalah tindakan pencuri, pembakar dan penjenayah. Tiada sebab yang boleh mengesahkan keganasan ini,” katanya.  – AFP, 17 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen