KALANGAN ibu bapa mahu Putrajaya memberi jaminan bahawa kawasan Sungai Kim Kim adalah selamat sebelum mereka menghantar semula anak ke sekolah.
Mereka mahukan jaminan tersebut walaupun pihak berkuasa berkata proses pembersihan sisa toksik hampir selesai.
Golongan ibu bapa itu berkata walaupun Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah akan dibuka semula selepas krisis itu berakhir, kebanyakan mereka enggan menghantar semula anak ke sekolah.
Rafea Abdullah, 45, berkata walaupun kementerian membuka semula sekolah pada minggu depan, dia dan ibu bapa lain di Taman Pasir Putih tidak mahu anak mereka kembali ke sekolah.
“Anak lelaki saya antara mangsa pertama yang mengalami keracunan toksik.
“Kami bimbang keselamatan anak-anak dan mahu jaminan daripada pihak berkuasa bahawa kawasan itu benar-benar selamat sebelum menghantar mereka ke sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Sungai Kim Kim.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kesemua 111 buah sekolah di Pasir Gudang diarahkan ditutup serta-merta sehingga diberitahu.
Katanya langkah itu perlu susulan kes pembuangan sisa toksik secara haram di Sungai Kim Kim pada minggu lalu.

Maszlee berkata guru dan staf sekolah juga tidak perlu datang ke sekolah sepanjang tempoh penutupan itu.
Pada satu pertemuan semalam, ibu bapa dimaklumkan bahawa pasukan yang ditugaskan membersihkan pencemaran di sungai itu dijangka menyelesaikan tugas dalam tempoh dua hari lagi.
Pencemaran sisa toksik di sungai itu menyebabkan hampir 1,000 orang mengalami masalah kesihatan, kebanyakannya murid yang bersekolah berdekatan Sungai Kim Kim.
Sementara itu Rafea berkata jika pihak berkuasa meminta ibu bapa untuk menghantar semula anak ke sekolah, mereka tidak akan berbuat demikian.
“Ibu bapa yang lain berasa kebimbangan sama tentang situasi di sini.

“Kami perlu melihat agensi yang relevan untuk memberi arahan, dan jika benar kualiti udara sudah pulih, kita akan menghantar anak ke sekolah.
“Malah jika mereka berkata sungai itu akan dibersihkan dalam tempoh seminggu, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu,” katanya.
Rafea berkata pihak berkuasa perlu terus memantau sungai tersebut dan memastikan tiada lagi kesan pencemaran sebelum dia menghantar empat anaknya ke sekolah.
Saloma Hassan, 39 berkata, beliau tidak akan menghantar anak-anaknya ke sekolah kerana masih belum yakin tahap keselamatannya.
“Kami mahukan surat rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan menyatakan keadaan sudah selamat untuk anak-anak kembali ke sekolah.
“Mereka hanya bercakap, jika berlalu sesuatu siapa yang akan bertanggungjawab?” soalnya.
Ibu kepada lima orang anak itu mahukan jaminan daripada pihak berkuasa sebelum menghantar anak-anak kembali ke sekolah.
Sementara itu, Sujatha Ettikan, 43, yang mempunyai tiga orang anak berkata, beliau tidak akan menghantar anak-anak ke sekolah sehingga pihak berkuasa memberi jaminan berhubung keselamatan mereka.
“Kami sebagai ibu bapa berhak untuk tidak menghantar anak kami ke sekolah.
“Saya tidak akan jejaskan atau mengambil apa-apa risiko, ia berkaitan nyawa anak-anak dan saya tidak akan memberi risiko kepada keselamatan anak-anak saya,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa perlukan maklumat yang betul daripada pihak berkuasa.
“Kami mahu agensi yang relevan seperti Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan dan bukan Kementerian Pendidikan sahaja untuk berikan kami jaminan,” katanya. – 17 Mac, 2019
Komen