RUSIA hari ini menyelar tindakan hipokrit blok Barat yang mengenakan sekatan baharu terhadap rakyatnya kerana terlibat dalam konfrontasi dengan Ukraine pada tahun lalu.
Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Kesatuan Eropah semalam mengenakan sekatan baharu ke atas lebih sedozen pegawai kerajaan dan ahli perniagaan Rusia sebagai hukuman kerana tindakan agresif Moscow di Ukraine.
“Tindakan memasukkan nama rakyat kita dalam senarai sekatan yang tidak sah oleh EU merupakan tindakan yang hipokrit,” kata kementerian luar Rusia.
Terdahulu, kementerian itu berkata Rusia akan bertindak balas terhadap tindakan tidak mesra EU itu dan menuduh Brussels memihak kepada Kiev menjelang pilihan raya presiden negara itu yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mac.
“Tindakan ini tidak boleh diabaikan kerana ia dibuat tidak lama sebelum pilihan raya presiden di Ukraine,” kata kementerian itu.
Rusia turut menuduh Washington dan Ottawa bersikap ‘Russophobia’ (fobia terhadap Rusia) dan mendakwa sekatan itu tidak akan memberi kesan seperti yang dimahukan AS dan Kanada.
Jabatan Perbendaharaan AS berkata enam pegawai Rusia, enam firma pertahanan dan dua firma tenaga dan pembinaan menjadi sasaran sekatan ekoran penglibatan mereka sama ada merampas kapal Ukraine atau menyokong pergerakan pemisah di Crimea, timur Ukraine.
AS membekukan semua hartanah dan kepentingan milik kesemua individu dan firma tersebut, dan melarang rakyatnya berurusan dengan mereka. – AFP, 16 Mac, 2019.
Komen