100 hilang di Zimbabwe akibat taufan


Taufan Idai yang melanda Mozambique semalam membunuh sekurang-kurangnya 24 orang di Timur Chimanimani termasuk dua pelajar manakala sekurang-kurangnya 40 yang lain cedera. - Gambar EPA, 16 Mac, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA 100 orang hilang di bahagian timur Zimbabwe akibat kesan sampingan bencana taufan tropika Idai yang melanda negara jiran, Mozambique.

Beribu-ribu orang terjejas, bekalan elektrik terputus dan jambatan utama dibanjiri air di bahagian wilayah Manicaland yang bersempadan Mozambique.

“Maklumat yang kami ada setakat ini, lebih daripada 100 orang hilang dan sebahagian daripadanya mungkin sudah mati,” kata Ahli Parlimen Chimanimani, Joshua Sacco.

Tambahnya, sekurang-kurangnya 25 rumah dihanyutkan lumpur di perbandaran Ngangu di bandar Chimanimani.

“Ada orang di dalamnya. Mereka adalah sebahagian daripada yang hilang,” katanya.

Bencana taufan tropika Idai melanda Mozambique semalam membunuh sekurang-kurangnya 19 orang.

Kementerian Penerangan Zimbabwe mengumumkan menerusi Twitter bahawa setakat ini angka kematian disahkan ialah 24 orang di Timur Chimanimani termasuk dua pelajar manakala sekurang-kurangnya 40 yang lain cedera.

Kebanyakan rumah rosak dan jambatan roboh di bahagian wilayah Manicaland yang terletak berhampiran sempadan Mozambique.

Kementerian berkata, sekumpulan penduduk yang melarikan diri rumah dilaporkan terperangkap di puncak pergunungan yang menunggu untuk diselamatkan, tetapi angin kuat menghalang bantuan helikopter ke sana. – AFP, 16 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen