KERAJAAN perlu menyiarkan laporan akhir Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) sebagai tanggungjawab untuk menepati janjinya, gesa Majlis Peguam Malaysia hari ini.
Badan peguam itu turut menggesa kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan institusi dalam badan kehakiman, Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Resolusi ini antara lima yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-73 Majlis Peguam Malaysia hari ini,” kata Abdul Fareed Abdul Gafoor yang dipilih sebagai presiden baharu majlis itu.
Resolusi kedua adalah menggesa kerajaan untuk menghapuskan lapan statut yang dianggap sebagai ‘undang-undang kuku besi’
Lapan statut itu adalah Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan Khas), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas), Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Tiga akta terakhir diluluskan antara 2012 dan 2015 oleh kerajaan terdahulu Barisan Nasional.
Resolusi itu juga menuntut kerajaan untuk memansuhkan artikel tertentu dalam Kanun Keseksaan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Penapisan Filem dan Akta Perhimpunan Aman.
Begitu juga dengan resolusi ketiga yang meminta kerajaan untuk melaksanakan moratorium menggunakan beberapa undang-undang sementara menunggu penghapusannya.
Resolusi keempat menggesa kerajaan untuk segera memulakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tuduhan yang dibuat oleh Hakim Hamid Sultan Backer yang dibuat bulan lepas.
Hamid Sultan dalam afidavitnya mendakwa terdapatnya campur tangan dalam kes-kes mahkamah termasuk kes mendiang Karpal yang didakwa atas tuduhan menghasut.
“Majlis Peguam Malaysia berasa marah dengan dakwaan serius dan mengejutkan dalam afidavit itu,” kata resolusi itu.
“Jika RCI mendapat sebarang tindakan mengarah atau campur tangan, tindakan sewajarnya perlu diambil.” – 16 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen