Seluruh New Zealand bersatu bantu komuniti Islam


Penduduk New Zealand memberi penghormatan terhadap mangsa serangan pengganas di Christchurch. Seramai 49 jemaah maut akibat ditembak pengganas ketika mereka menunggu untuk menunaikan solat Jumaat semalam. – Gambar AFP, 16 Mac, 2019.

RAKYAT New Zealand menunjukkan sokongan luar biasa terhadap masyarakat Islam susulan serangan pengganas yang mengorbankan 49 nyawa jemaah di dua buah masjid di selatan negara itu.

Sokongan itu mempamerkan solidariti antara agama di New Zealand apabila penduduknya mengumpulkan jutaan dolar, mendermakan makanan halal dan sanggup menawarkan diri untuk menemani penduduk Islam yang bimbang berjalan seorang diri di jalanan.

Pembunuhan 49 jemaah itu mengejutkan seluruh New Zealand, apatah lagi negara itu merekodkan purata tidak lebih 50 kes pembunuhan setahun.

Namun pembunuhan yang bermotifkan perkauman itu ternyata tidak menggugat semangat perpaduan rakyat New Zealand untuk menyokong dan melinduni komuniti Islam di sana.

Di kawasan pinggir bandar Christchurch berdekatan lokasi serangan pengganas, Yoti Ioannou dan isterinya melancarkan kempen dalam Facebook untuk meminta penduduk tempatan menyumbangkan makanan halal.

Pasangan suami isteri itu berharap usaha mereka dapat membantu ahli keluarga dan saudara yang menunggu di hospital ketika doktor berusaha menyelamatkan nyawa insan yang mereka sayang.

“Kami berasa rendah hati dan gembira kerana dapat membantu,” kata Ioannou.

Dua kempen mengumpul dana juga dilancarkan di seluruh New Zealand apabila kutipan sebanyak AS$2.2 juta dikutip dalam tempoh 24 jam selepas insiden serangan pengganas itu berlaku.

Kebanyakan mereka yang menderma juga menyampaikan mesej sokongan sebagai menunjukkan semangat Maori yang popular di negara itu.

Ada juga pihak yang menawarkan bantuan dan sokongan kepada penduduk Islam yang berasa takut untuk keluar rumah.

Lianess Howard misalnya mengambil inisiatif dengan menawarkan diri untuk menemani wanita Islam di Wellington untuk keluar.

“Saya boleh berjalan bersama anda, tunggu bersama anda di hentian bas, duduk bersama dalam bas atau menenami membeli barangan dapur,” tulis wanita itu dalam Facebook. – AFP, 16 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen