SEORANG senator Australia terpaksa ditenangkan anggota keselamatan selepas beliau menumbuk seorang remaja lelaki yang membantah kenyataannya berhubung serangan pengganas di Christchurch.
Senator Queensland Fraser Anning mengundang kecaman antarabangsa selepas ahli politik berhaluan kanan itu mendakwa penghijrahan orang Islam menjadi punca serangan pengganas yang mengorbankan 49 nyawa jemaah masjid di New Zealand semalam.
Ekoran kontroversi itu, seorang remaja lelaki yang tidak dikenali melempar telur kepada Anning ketika beliau mengadakan sidang media di Melbourne hari ini.
Senator itu kemudiannya menumbuk muka remaja tersebut berulang-kali sebelum ditenangkan oleh seorang anggota keselamatan.
Menurut laporan media Australia ABC, penyokong Anning bertindak menahan remaja berusia 17 tahun itu sebelum diserahkan kepada polis.
Remaja dari Hampton kemudiannya dibebaskan selepas polis mengambil keterangan.
Dalam satu kenyataan semalam, Anning berkata serangan di selatan New Zealand itu berpunca akibat penghijrahan orang Islam ke negara tersebut.
Perdana Menteri Scott Morrison menyifatkan kenyataan Anning sebagai jelek dan memalukan, serta akan mengeluarkan usul pada sidang Parlimen bulan depan bagi mengambil tindakan terhadap senator itu. – AFP, 16 Mac, 2019.
Komen