Lebih 2.6 juta pengundi awal Thailand membuang undi esok


Sejumlah 2,632,935 pengundi awal yang berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka esok menjelang pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac depan. – Gambar EPA, 16 Mac, 2019.

SEJUMLAH 2,632,935 pengundi awal yang berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka esok menjelang pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac depan.

Proses pembuangan undi awal akan bermula 8 pagi hingga 5 petang  esok di 380 stesen mengundi di negara itu bagi pengundi yang mendaftar untuk mengundi di luar kawasan mengundi mereka di Thailand.

Bagaimanapun mereka yang telah mendaftar tetapi tidak datang mengundi esok tidak dibenarkan mengundi pada 24 Mac nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Thailand menjangkakan jumlah kehadiran yang tinggi dalam pilihan raya awal esok memandangkan ini merupakan pilihan raya pertama diadakan selepas rampasan kuasa tentera 2014.

Ketua Setiausaha EC Jarungvith Phumma mengulangi bahawa suruhajaya itu bersedia bagi memastikan perjalanan pilihan raya lancar pada Ahad. 

Beliau menasihatkan pengundi awal untuk menyemak dalam  senarai EC mengenai nombor calon di kawasan pilihan raya yang didaftarkan dan  bukannya dalam senarai yang mereka daftar untuk pengundian awal.

Kertas undi untuk pengundian awal tidak akan dikira di stesen  mengundi esok tetapi ia akan disusun dengan sewajarnya dan disimpan di balai polis untuk keselamatan.

Ia akan dihantar ke kawasan masing-masing untuk dikira pada 24 Mac.

Sementara itu, kedai dan restoran dilarang menjual alkohol selama 24 jam bermula 6 petang Sabtu hingga 6 petang Ahad (pengundian awal) dan hujung minggu depan bermula  6 petang pada 23 Mac hingga 6 petang pada 24 Mac (hari pengundian).  

 Undang-undang pilihan raya melarang  sesiapa sahaja untuk menjual, mengedar, memberi alkohol atau mengadakan parti atau acara  sosial yang menyajikan  alkohol dan sesiapa yang melanggar undang-undang akan dikenakan denda hingga 10,000 baht atau dipenjara tidak lebih daripada satu tahun.

Polis Thailand berkata sekatan itu adalah untuk mengelakkan penipuan pilihan raya termasuk membeli undi dengan menganjurkan pesta pada malam sebelum pengundian.

Timbalan jurucakap Polis Diraja Thailand Kritsana Pattanacharoen berkata, polis membuat persiapan untuk pengundian awal pada Ahad serta hari pengundian, minggu depan. 

“Anggota polis akan ditempatkan di stesen mengundi untuk memastikan pengundian yang lancar dan juga 24 Mac,” katanya,

Lebih 51 juta pengundi yang layak termasuk 7.33 pengundi kali pertama dijangka mengundi dalam pilihan raya umum yang ditunggu-tunggu di Thailand pada Ahad depan.

Setakat 1 Februari, terdapat 24,801,527 pengundi lelaki dan 26,618,448 pengundi wanita layak mengundi di negara gajah putih  ini.

Sebanyak 119,148 orang rakyat  Thailand mendaftar untuk mengundi di luar negara.

Mereka mula mengundi di kedutaan atau konsulat mulai 4 Mac dan berakhir hari ini. – Bernama, 16 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen