Kami tetap sayang negara ini, kata imam masjid Christchurch


Insiden serangan berdarah pada Jumaat di masjid Christchurch tidak menggugat perasaan sayang komuniti Islam di sana kepada New Zealand. – Gambar EPA, 16 Mac, 2019.

IMAM masjid yang diserang pengganas di Christchurch berkata pada Sabtu, komuniti Islam di New Zealand tetap sayangkan negara itu dan ia tidak akan goyah walaupun berlaku insiden pembunuhan beramai-ramai.

“Kami tetap sayangkan negara ini,” kata Ibrahim Abdul Halim, imam Masjid Linwood, bersumpah tindakan pelampau tidak akan berjaya menggugah keyakinan mereka.

Halim menceritakan peristiwa ngeri yang berlaku ketika solat Jumaat apabila bunyi tembakan kedengaran di dalam masjid, suasana tenang bertukar bising dengan bunyi jeritan, pertumpahan darah dan kematian.

“Semua orang berbaring di atas lantai, dan beberapa wanita mula menangis, sesetengahnya meninggal dunia serta merta,” katanya.

Tetapi, katanya, umat Islam New Zealand masih berasa seolah di negara sendiri.

“Anak-anak saya tinggal di sini” katanya sambil menambah, “kami gembira”.

Beliau berkata majoriti penduduk New Zealand turut memberi sokongan dan sama-sama bersolidariti, ramai individu tidak dikenali memberinya pelukan pada Sabtu.

“Mereka memeluk saya, dan memberikan solidariti. Ini sesuatu yang sangat penting.”

Serangan ke atas dua masjid oleh ekstremis sayap kanan menyebabkan 49 orang mati. – AFP, 16 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen