PRESIDEN Venezuela, Nicolas Maduro menubuhkan sebuah unit tentera pada hari Jumaat yang akan bertindak bagi melindungi pemasangan dan perkhidmatan asas seperti bekalan elektrik dan air selepas seminggu negara itu dilanda ketiadaan elektrik secara besar-besaran.
Maduro menyalahkan serangan siber yang diarahkan oleh Amerika Syarikat namun para pengkritik beliau mengatakan bahawa kerajaan bersalah kerana gagal mengendalikan infrastruktur.
Berucap di televisyen dan radio, Maduro berkata “Unit Pertahanan Perkhidmatan Strategik Asas” akan ditugaskan untuk memastikan “keselamatan, pengendalian dan penyelenggaraan.”
Pegawai-pegawai dalam unit itu akan bertanggungjawab menjamin keselamatan infrastruktur dan penyelenggaraan peralatan “fizikal dan sibernetik”.
Maduro mengulangi dakwaannya bahawa ketiadaan elektrik yang berlangsung selama hampir seminggu itu, adalah berpunca oleh “serangan berturut-turut” terhadap kemudahan hidroelektrik utama negara di Guri, Bolivar, yang “diarahkan” oleh penasihat keselamatan negara Presiden John Donald Trump, John Bolton.
Pemadaman elektrik itu melanda pada 7 Mac dan melumpuhkan pergerakan warganya hampir di seluruh negara.
Kerajaan mengumumkan pada hari Selasa bahawa kuasa elektrik telah kembali pulih di hampir seluruh negara namun wilayah barat negara itu masih melaporkan bahawa bekalan elektrik masih belum pulih di sana. – AFP, 16 Mac, 2019.
Komen