KIRA-KIRA 90 orang mengalami sesak nafas selepas berlaku kebocoran gas klorin di bandar timur Kut, ibu kota Wilayah Wasit, memetik Kementerian Kesihatan Iraq pada Jumaat, lapor agensi berita Xinhua.
“Insiden berlaku di sebuah kemudahan rawatan air kira-kira 180 kilometer di tenggara ibu kota Baghdad,” kata jurucakap kementerian, Sayf al-Badr.
Katanya, kebanyakan mangsa mengalami sesak nafas yang tidak serius.
Justeru, Jabatan Kesihatan Wasit telah mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi mengawal keadaan.
Bagaimanapun, kementerian tidak memaklumkan sama ada insiden disebabkan sabotaj atau kemalangan.
Berdasarkan kes sebelum ini, militan Daesh menggunakan gas klorin untuk menyerang orang awam dan pasukan keselamatan Iraq.
Keadaan keselamatan di Iraq bertambah baik selepas militan berjaya diperangi pada lewat 2017.
Namun, masih terdapat saki baki pengganas yang bersembunyi di padang pasir dan beberpaa kawasan lain untuk melancarkan serangan. – Bernama, 16 Mac, 2019.
Komen