PM New Zealand ikrar perbaharui undang-undang senjata api


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berjanji akan membuat pembaharuan dalam undang-undang pemilikan senjata api bagi memastikan insiden tembakan masjid di Christchurch tidak berulang. – Gambar EPA, 16 Mac, 2019.

PERDANA menteri New Zealand berikrar untuk memperketatkan undang-undang senjata api selepas pendedahan pada Sabtu, pengganas yang dituduh membunuh 49 orang di dua masjid membeli senjata secara sah.

Jacinda Ardern berkata pengganas Brenton Tarrant, memperoleh lesen senjata “Kategori A” pada November 2017 dan mula membeli lima senjata yang digunakan dalam serangan pada Jumaat di Christchurch pada bulan berikutnya.

Senjata api termasuk dua senapang separa automatik, dua senapang patah dan senjata lever-action, katanya kepada pemberita di Wellington sebelum menuju ke Christchurch.

“Undang-undang senjata kita akan diubah,” katanya.

Beliau mengesahkan pengganas berkenaan dan dua individu bersubahat yang ditahan tidak pernah berada dalam pengawasan mana-mana agensi perisikan, walaupun menerbitkan sebuah manifesto dalam talian yang menunjukkan rancangan serangan terhadap orang Islam.

“Mereka tidak berada dalam mana-mana pengawasan sama ada di sini atau di Australia,” katanya.

“Individu yang didakwa dengan pembunuhan itu tidak menjadi perhatian komuniti perisikan, atau polis berhubung ekstremisme,” tambahnya.

“Saya meminta agensi kita pagi ini bekerja dengan pantas untuk menilai sama ada terdapat sebarang aktiviti di media sosial atau sebaliknya, yang sepatutnya mencetuskan respons.”

New Zealand sebelum ini mengetatkan undang-undang senjata api bagi menyekat akses kepada senapang separa automatik pada 1992, dua tahun selepas seorang lelaki sakit mental menembak mati 13 orang di bandar selatan Aramoana.

Tetapi ia lemah berbanding Australia, yang menggubal rejim kawalan senjata yang ketat berikutan pembunuhan beramai-ramai pada 1996, dan begitu juga kebanyakan negara maju lain di luar Amerika Syarikat.

Sesiapa yang melebihi usia 16 tahun boleh memohon lesen senjata api New Zealand, sah selama 10 tahun selepas mengambil kursus keselamatan dan pemeriksaan latar belakang polis.

Kebanyakan senjata tidak memerlukan pendaftaran di bawah Akta Senjata New Zealand dan polis tidak tahu “berapa banyak senjata api dimiliki secara sah atau tidak sah di New Zealand,” menurut satu kenyataan polis tahun lepas. – AFP, 16 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen