Pengganas serang masjid Christchurch tersenyum sinis di mahkamah 


Brenton Tarrant didakwa melakukan pembunuhan, selepas serangan keganasan di dua masjid Christchurch yang menyebabkan 49 orang mati. – Gambar EPA, 16 Mac, 2019.

NZ Herald melaporkan tertuduh Brenton Harrison Tarrant, suspek utama pembunuhan beramai-ramai di dua masjid Christchurch, mendengar pertuduhan beliau di mahkamah majistret hari ini dengan senyum sinis.

Tarrant, 28 tahun menerima perintah reman oleh mahkamah hingga 5 April depan bagi membantu siasatan berkenaan kejadian kejam yang menyaksikan pembunuhan 49 orang jemaah masjid di New Zealand tempohari.  

Bekas pengajar kecergasan kelahiran Australia itu tidak memohon ikat jamin dan perbicaraannya dijadualkan pada 5 April depan.

Selepas Tarrant meninggalkan kamar mahkamah, Hakim Paul Kellar berkata ketika “ini hanya satu pertuduhan pembunuhan dikenakan ke atasnya, sangat munasabah ada lagi pertuduhan-pertuduhan lain yang akan dikenakan ke atas beliau.”

Sebelum ini, Pesuruhanjaya Polis New Zealand Mike Bush berkata Tarrant dikenakan satu pertuduhan bunuh, namun pertuduhan-pertuduhan lain akan menyusul kemudian.

“Saya mahu tegaskan kepada penduduk New Zealand bahawa kami sedang membuat semua perkara yang mampu untuk menangani serangan ini, dan mengerahkan semua sumber yang ada bagi membantu seluruh komuniti di New Zealand,” kata Bush. – 16 Mac, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen