JAMINAN Putrajaya bahawa keadaan di Sungai Kim Kim terkawal tidak meyakinkan sesetengah warga Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran toksik di sungai itu.
Seorang penduduk, Mohamed Syahmi berkata beliau percaya keadaan itu sebaliknya, lebih-lebih lagi selepas isterinya yang hamil dikejarkan ke Stadium Pasir Gudang untuk menerima rawatan.
Lelaki berusia 28 tahun itu berkata, isterinya mengadu sakit dada dan loya ketika berada di tempat kerja.
“Dia baru saja dua bulan hamil. Ini anak sulung kami dan saya bimbang keselamatan mereka,” kata Mohamed kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di luar pusat rawatan itu.
Beliau menjawab jaminan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa keadaan masih terkawal dan dijangka tidak akan jadi lebih buruk berbanding keadaan semasa.
Mohamed berkata perisytiharan darurat akan menunjukkan keadaan itu serius memandangkan majikan syarikat dalam kawasan yang terjejas masih berharap kakitangan terus datang bekerja.
“Kerajaan sepatutnya campur tangan dan meminta kilang ditutup buat sementara sehingga keadaan bertambah baik,” katanya.
Seorang anggota Rela, Malik Yusof, 55, berkata lebih 200 orang tampil mendapatkan rawatan di pusat rawatan yang dibuka di stadium sejak 8 pagi semalam.
“Orang asyik datang. Lebih 30 orang yang kritikal dipindahkann ke Hospital Sultan Ismail,” katanya.
Malik juga berkata, pusat rawatan di dewan serbaguna di Taman Pasir Putih dipindahkan ke stadium kerana kawasan tersebut kini diisytihar zon merah.
Individu yang datang mendapatkan rawatan itu terdiri daripada penduduk Taman Pasir Putih, Taman Mawar, Sri Alam dan kawasan lain.
Pembuangan sisa kimia dalam sungai tersebut pada minggu lalu menjejaskan kesihatan lebih 1,000 orang, terutama pelajar sekolah yang terletak di sepanjang Sungai Kim Kim.
Bahan kimia tersebut mengeluarkan gas beracun yang antara lain menjejaskan sistem pernafasan.
Penduduk Kota Masi, Abdul Gahapur Mohd Nor, 33, pula berkata beliau datang ke pusat itu kerana dua anaknya batu dan isterinya muntah-muntah.
“Anak saya batuk sejak minggu lalu tapi tidak serius. Tapi semalam, keadaannya makin teruk.
“Anak-anak ini diperiksa oleh doktor dan diberikan ubat batuk sertai antibiotik,” katanya.
Katanya doktor menasihati mereka untuk tidak meninggalkan rumah, dan menambah ramai jirannya sudah meninggalkan kawasan itu kerana bimbang kesihatan keluarga terjejas.
Gahapur percaya sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat, lebih banyak sumber kerajaan persekutuan boleh disalurkan untuk usaha pembersihan.

Seorang surirumah, Norhafizah Mohd Nor, 35, memberitahu The Malaysian Insight, beliau terpaksa berpindah ke rumah ibunya kerana rumahnya di Taman Air Biru terletak hanya 4km dari Sungai Kim Kim.
“Saya bawa anak-anak ke sini sebab batuk semakin teruk. Kami tinggal dalam zon merah, sebab itu kanak-kanak terjejas,” katanya.
Bagaimanapun sesetengah individu yang tinggal dalam zon tersebut berpendapat perisytiharan darurat bermakna mereka tidak dapat berniaga dan bekerja.
Pemilik kedai runcit Abdul Halim Jaafar, berkata, walau keadaan kini membimbangkan, beliau percaya ia masih belum sampai ke tahap darurat kerana belum ada kematian.
“Kita tidak nampak orang mati, mayat bertimpa-timpa. Apa yang kita nampak, masih ramai yang meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Kedainya di Taman Pasir Putih terletak kira-kira 200 meter dari Sungai Kim Kim.
Beliau bagaimanapun mengakui beberapa keluarga sudahpun berpindah keluar dari kawasan itu buat sementara waktu, terutama keluarga dengan anak kecil.
“Mereka yang pindah itu dengan anak kecil dan tidak bekerja. Mereka boleh balik kampung. Tapi yang bekerja di sini susah untuk tinggalkan tempat ini. Macam mana nak cari makan?” soalnya.
Hairil Abu pula, yang tinggal kira-kira 100 meter dari sungai juga menolak cadangan mengisytihar darurat kerana pencemaran itu perkara biasa yanng dilihatnya sejak membesar di kawasan itu.
“Ini bukan perkara baru, saya dibesarkan di sini. Dulu, apabila perkara seperti ini berlaku, kita akan lapor kepada pihak berkuasa dan mereka ambil tindakan. Kemudian berulang lagi.
“Apa yang berlaku kali ini, mereka ambil masa terlalu lama untuk ambil tindakan, sebab itu jadi begitu teruk. Ia sudah berlaku sebelum ini, tetapi tidak teruk sebegini.
“Darurat adalah apabila ada orang meninggal dunia. Jika masih boleh dikawal, cepat-cepatlah ambil tindakan dan atasinya,” kata beliau. – 16 Mac, 2019.
Komen