The Malaysian Insight memaparkan golongan rakyat biasa yang berjaya menjadikan Malaysia ini lebih baik. Personaliti kedua bagi minggu ini, Zurianty Sudin.
BUKAN perkara mudah membahagikan masa di antara kerjaya, keluarga dan kerja amal. Bagaimanapun, bagi ibu empat anak, Zurianty Sudin, 35, peranannya yang pelbagai itu menjadi sumber kebahagiaan dan kepuasannya.
Justeru, Zurianty mempunyai caranya tersendiri mencuri masa bagi melakukan kerja amal seperti turun ke Chow Kit memberi makan gelandangan, bantuan kepada mangsa banjir dan Orang Asli di pedalaman, serta menawar petrol percuma kepada penunggang motosikal ketika harga petrol meningkat.
“Saya ada kerja sepenuh masa, anak dan minat juga. Melakukan kerja amal adalah minat saya. Ia pelengkap jiwa yang membuatkan saya lena tidur malam dan kepuasan hidup,” katanya yang bekerja di sektor korporat kepada The Malaysian Insight.
Membesar sebagai yatim piatu, Zurianty tidak asing kepada kesusahan hidup. Sentiasa bersedia menjadi sukarela dan melakukan kerja amal, dia akhirnya “terikat” apabila Kelantan dilanda banjir besar pada Disember 2014.
Banjir yang melanda negeri Pantai Timur itu adalah terburuk dalam sejarah negara, menyebabkan ribuan kehilangan segala-galanya kerana rumah dinaiki air.
Zurianty berasa terpanggil untuk membantu mangsa banjir dan bersama suami, mereka ke Kampung Serian untuk menawarkan bantuan.
“Fokus kami ke kampung itu kerana ia memang kawasan pedalaman dan kawasan lain kebanyakannya sudah banyak mendapat bantuan daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO).
“Fasa pertama, kami fokus pada bantuan makanan. Fasa kedua; rumah – kami bina daripada tiada apa-apa dan fasa ketiga bina tandas. Saya bersyukur kerana syarikat saya bekerja dulu turut bekerjasama menyumbangkan kos pembinaan tandas untuk projek perumahan itu,” katanya 10 buah keluarga menerima bantuan tersebut.
Memanjangkan bantuan
Selepas Kelantan, Zurianty mendapati dirinya kini jatuh cinta untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan terhadap komuniti Orang Asli.
Melalui NGO Jejak Rimba yang diuruskannya, Zurianty menganjurkan aktiviti komuniti untuk penduduk kampung, menyediakan keperluan asas fizikal dan pendidikan.
“Mereka terdiri tidak mempunyai akses kepada perkara asas seperti air, pendidikan dan lain-lain,” katanya.
Menurut Zurianty, kumpulannya itu turut melancarkan projek membina perpustakaan di kampung itu tahun ini.
“Bagaimanapun memandangkan kebanyakan mereka tidak tahu membaca, jadi pelajar daripada UPM (Universiti Putra Malaysia) akan turun padang mengajar mereka membaca dan memupuk rasa cintakan buku,” katanya.

Korban kemewahan
Dengan segala kerja amal yang dilakukan bagi membantu golongan tidak berkemampuan, Zurianty dan keluarga bukan sahaja rela mengorbankan masa dan tenaga tetapi kemewahan hidup.
“Dari segi masa untuk keluarga saya tiada masalah kerana kami selalu turun padang melakukan aktiviti kerja amal.
“Dari segi kewangan mungkin terasa serba sedikit. Jika dahulu setiap tahun akan bercuti ke luar negara tapi kini tidak lagi,” katanya yang kira-kira 20% hingga 30% wang gajinya setiap bulan bagi kerja amal.
Cabaran dan kritikan
Walaupun banyak pujian bagi kerja amal yang dilakukan, tidak kurang juga kecaman dan kritikan turut diterima.
Melalui media sosial, ramai netizen melabelnya cuba tunjuk baik dengan apa yang dilakukan.
Ada juga memintanya melakukan kebajikan secara senyap dan tidak perlu menghebahkannya.
Namun, dia tidak menghiraukan semua itu kerana niatnya hanya mahu menggalakkan orang ramai melakukan kerja amal tidak kira masa tanpa sebarang alasan.
“Anda boleh mulakan dengan perkara di sekeliling anda. Tanya anak anda di sekolah sama ada mereka mempunyai rakan yang susah. Tidak semestinya perlu buat program,” katanya.
Cari peluang lakukan kerja amal
Zurianty juga mengajak rakyat Malaysia menghulurkan bantuan tidak semestinya dalam bentuk wang tetapi juga tenaga dan masa.
Ketika rakyat Malaysia terkesan dengan kenaikan harga petrol, Zurianty melalui projek #FreeFuelForTheNeedy atau “Freevo” pada akhir tahun lepas sanggup menghabiskan RM5,000 wangnya sendiri dengan menawarkan petrol percuma sebanyak RM5 kepada setiap penunggang motosikal di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, selain motosikal kapcai, motosikal berkuasa tinggi tidak juga ketinggalan beratur panjang untuk mendapatkan pengisian petrol percuma.
Katanya, tidak perlu buruk sangka kerana tidak siapa tahu apa dilalui seseorang itu kerana walaupun luaran nampak senang, mungkin mereka baru diberhentikan kerja dan jumlah RM5 tersebut besar buat mereka.
“Kerja amal bukan tanggungjawab tapi sebahagian daripada hidup kita. Kita tidak tahu bila anda memerlukannya.
“Bila anda menjadi seorang daripada mereka, anda akan mengerti. Anda akan lebih menghargai setiap perkara yang anda lakukan,” katanya.
Tambahnya, memahami rasa perit untuk meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan, membuatkannya berusaha melakukan apa yang terdaya dan berkongsi apa yang mampu selagi hidup.
Zurianty juga berpendapat, tidak adil jika kerajaan dipersalahkan 100% atas kesusahan yang dihadapi masyarakat kerana kemungkinan skala tersebut terlalu besar.
“Kita sepatutnya memainkan peranan sebagai manusia yang masih sihat. Contohnya, jika banjir berlaku di Kelantan, ramai netizen mengucapkan takziah, kasihan dan ‘mari kita mendoakan mereka’.”
“Adakah itu perkara paling maksimum anda mampu lakukan? Jika anda di tempat mereka, adakah anda hanya mengharapkan doa sahaja daripada orang ramai?” soalnya.
“Kalau semua orang memainkan peranan mereka, mungkin tiada orang susah.
“Jika kita sudah tiada di dunia ini, kita tahu kita sudah lakukan sesuatu di dunia ini,” katanya. – 8 April, 2017.
Komen