PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan cara pihak berkuasa mengendalikan krisis pencemaran kimia di Pasir Gudang, menyifatkannya sebagai ‘sangat bagus’.
“Saya berpuas hati dengan usaha yang dilakukan untuk mengatasi kesan pencemaran. Staf hospital melakukan tugas dengan baik.
“Ia adalah luar biasa untuk mereka yang mengalami keracunan akibat bahan kimia tersebut tetapi jelas mereka mengekang sebarang kematian daripada berlaku.
“Kebanyakan mereka akan dibenarkan pulang sebaik saja pulih.
“Secara keseluruhannya, saya fikir cara masalah di Pasir Gudang dikendalikan adalah baik dan saya tidak melihat sebarang keperluan untuk mengisytiharkan darurat,” kata Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Namun apabila ditanya sama ada Menteri Besar Johor Osman Sapian perlu bertanggungjawa kerana bertindak lambat untuk mengawal pencemaran mereka, Dr Mahathir berkata: “Mereka yang mengkritik perlu tampil kepada kami dan memberitahu apa yang perlu dilakukan. Kemudian kita akan mengikut mereka.”
Beberapa pihak mengkritik kerajaan negeri kerana lambat bertindak untuk mengekang atau membersihkan pencemaran selepas pelajar di kawasan terlibat mula sakit sejak lebih seminggu lalu.
Bau bahan kimia mula dihidu pada 7 Mac lalu, menyebabkan pelajar di dua buah sekolah berhampiran jatuh sakit.
Bahan kimia itu dibuang di sungai berhampiran, Sungai Kim Kim, dipercayai digunakan untuk memproses tayar lama.
Kementerian Pendidikan mengarahkan kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.
Lebih 3,000 orang menerima rawatan akibat kesan pencemaran itu dan tiada kematian dicatatkan setakat ini.
Kerajaan menegaskan tidak akan mengisytiharkan darurat atau memindahkan penduduk. – 15 Mac, 2019.
Komen