BERSATU kini ada 26 ahli Parlimen selepas kemasukan empat lagi wakil dari Sabah.
Dalam sebuah majlis serba ringkas hari ini, Abd Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran) diberikan kad keahlian oleh Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
Selain empat ahli Parlimen itu, dua Adun- Masidi Manjun (Karanaan) dan Hajiji Noor (Sulaman)- juga menyertai Bersatu.
Turut menyertai Bersatu hari ini ialah Senators John Ambrose dan Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan wakil rakyat Umno yang keluar parti pada 12 Disember lalu dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Dengan kemasukan mereka ke dalam Bersatu, Pakatan Harapan kini mempunyai 129 wakil di Dewan Rakyat, kurang sembilan belas lagi wakil untuk mendapat majoriti besar dua per tiga bagi melancarkan proses pindaan Perlembagaan.
Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lalu, 15 ahli Parlimen Umno sudah menyertai Bersatu.
Bersatu Sabah dijadualkan dilancar oleh Dr Mahathir dan Presiden Muhyiddin Yassin pada 6 April depan.
“Kami akan lancarkan parti di Sabah pada 6 April tetapi sebelum buat begitu, sudah ada ramai mahu sertai Bersatu,” kata Dr Mahathir.

Beliau menambah, yang walaupun Warisan bukanlah ahli rasmi Pakatan Harapan, kerajaan persekutuan akan terus memberikan tempat kepada mereka.
“Mereka ada tiga menteri dan dua timbalan menteri,” katanya pada majlis yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.
Katanya lagi, matlamat Bersatu masuk ke Sabah hanyalah untuk menyokong Warisan.
Ketika ditanya mengenai wakil rakyat Bebas lain yang masih belum masuk Bersatu, Dr Mahathir berkata: “Mereka akan masuk”.
Mengenai kedudukan Ronald dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Mahathir berkata beliau boleh terus kekal sebagai pengerusi PAC.
Jelasnya, PH menganggap amalan pengerusi PAC perlulah wakil pembangkang hanyalah satu dasar.
“Ia bukan diinstitusikan (peraturan). Beliau boleh kekal.”
Tetapi, jika pembangkang boleh mendapat sokongan mencukupi, mereka boleh menggantikan Ronald, tambahnya.
Barisan Nasional sudah mencalonkan Noraini Ahmad (Parit Sulong) untuk menggantikan Ronald dalam PAC.
Ronald pula berkata yang beliau hanya menurut perdana menteri.
“PM kata saya tak perlu berundur, maka saya tak akan berundur.” – 14 Mac, 2019.
Komen