Penyerang masjid New Zealand siar manifesto sebelum mengganas


Seorang anggota polis berkawal di Masjid al Noor di Christchurh selepas serangan berdarah yang mengorbankan 49 nyawa jemaah hari ini. – Gambar AFP, 15 Mac, 2019.

SEORANG lelaki bersenjata yang terlibat dalam serangan di masjid di New Zealand hari ini, menyiarkan manifesto berbaur perkauman menerusi Twitter sebelum merakam perbuatannya membunuh sekurang-kurangnya 49 jemaah masjid, lapor AFP.

Polis menggesa orang ramai agar tidak berkongsi video itu yang menunjukkan penyerang berulang kali menembak jemaah dari jarak dekat.

AFP menganalisis video Facebook Live yang menunjukkan seorang lelaki berambut pendek memandu ke Masjid al Noor di tengah Christchurch, kemudian melepaskan tembakan ketika memasuki rumah ibadat itu.

AFP mendapati video itu tulen berdasarkan siasatan secara digital termasuk meneliti persamaan rakaman sekitar masjid yang diambil penyerang itu dengan imej kawasan sama yang didapati secara dalam talian.

Manifesto penyerang itu yang mendedahkan motivasi untuk melakukan serangan terrsebut disiarkan pada pagi Jumaat di Twitter dengan menggunakan nama dan gambar profil sama seperti laman Facebook yang menyiarkan secara langsung serangan itu.

Manifesto bertajuk ‘The Great Replacement’ setebal 73 muka surat itu berkata lelaki itu mahu menyerang orang Islam.

Tajuk dokumen itu sama seperti teori konspirasi berasal dari Perancis yang percaya bahawa populasi Eropah tergugat dengan kehadiran golongan imigran.

Manifesto itu berkata lelaki kulit putih itu memperkenalkan dirinya sebagai kelahiran Australia, berusia 28 tahun dari keluarga berpendapatan rendah.

Katanya perkara penting dalam tindakan radikalnya itu adalah kekalahan pemimpin Perancis berhaluan kanan, Marine Le Pen pada pilihan raya 2017, dan kematian Ebba Akerlund yang berusia 11 tahun dalam serangan rempuhan lori di Stockholm pada tahun yang sama.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengesahkan penyerang Masjid al Noor merupakan rakyat Australia.

Manifesto itu merupakan hantaran terakhir lelaki tersebut sebelum akaun Twitter itu dipadam.

Beberapa gambar senjata turut dimuat naik dalam akaun yang sama pada 13 Mac lalu dan AFP meneliti tulisan yang terdapat pada senjata tersebut.

Tulisan dalam bahasa Inggeris dan beberapa bahasa Eropah Timur merupakan nama pejuang tentera - kebanyakannya rakyat Eropah yang terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Uthmaniyyah pada abad ke-15 dan 16.

Akaun Facebook yang menyiarkan video itu juga telah dipadam.

Setakat ini, empat suspek telah ditahan iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berhubung serangan yang berlaku ketika jemaah sedang menunggu solat Jumaat.

Polis New Zealand turut mendakwa seorang suspek atas tuduhan membunuh dan lelaki itu akan dihadapkan ke mahkamah esok pagi.

Bagaimanapun identiti kesemua suspek yang ditahan masih belum didedahkan. – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen