Korea Utara sedia gantung rundingan nuklear


Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dan Presiden AS Donald Trump sebelum ini mencapai usaha positif berhubung isu program nuklear Pyongyang. – Gambar EPA, 15 Mac, 2019.

PYONGYANG sedia menggantung rundingan nuklear dengan Washington selepas sidang kemuncah Hanoi antara pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berakhir tanpa sebarang persetujuan, lapor media Rusia.

“Kita tidak berhasrat untuk memenuhi tuntutan AS dalam apa jua keadaan, dan kami juga tidak terlibat dalam rundingan seperti ini,” lapor agensi berita TASS yang memetik kenyataan naib menteri luar Korea Utara Choe Son Hui.

Kim akan membuat pengumuman rasmi berhubung tindakan yang akan diambil negaranya, kata Choe kepada pemberita dan diplomat asing di Pyongyang.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika pendedahan aktiviti mencurigakan di tapak pelancaran roket satelit yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap kemungkinan Korea Utara mahu melancarkan peluru berpandu jarak jauh atau misi angkasa.

Sebarang pelancaran akan menjejaskan rundingan antara Pyongyang dan Washington selepas kedua-dua negara tidak mencapai kata sepakat di Hanoi.

Choe menyalahkan AS atas kegagalan rundingan itu dengan mengatakan Setiausaha Negara AS Michael Pompeo dan Penasihat Keselamatan Negara John Bolton mencetuskan suasana kurang senang dan rasa tidak percaya, sekali gus menghalang usaha positif antara Kim dan Trump.

“Akibatnya, sidang kemuncak itu berakhir tanpa keputusan penting,” kata diplomat Korea Utara itu yang hadir pada persidangan tersebut di Vietnam. – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen