KERAJAAN tidak pernah terlintas dan mempunyai sebarang usaha untuk memadamkan jasa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang pernah berkhidmat kepada negara selama lebih dua dekad, kata Dr Salleh Said Keruak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memberi contoh terbaru pada sambutan Hari Kemerdekaan 2017, 31 Ogos lalu di Dataran Merdeka yang menampilkan Dr Mahathir dalam barisan perdana menteri.
“Semasa paparan skrin bagi pencapaian negara sejak merdeka, semuanya kita tunjukkan di skrin termasuk Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Gambar beliau pun ada. Kita tiada niat macam ini (buang legasi Dr Mahathir).
“Walaupun tidak sependapat dengan Dr Mahathir kerana beliau tidak bersama kita. Tidak bermakna kita tidak menerima hakikat beliau pernah jadi perdana menteri selama 22 tahun.
“Apabila kita menceritakan perkembangan sejarah politik Malaysia, beliau sebahagian daripada sejarah dan kita mengiktirafnya,” kata bendahari agung Umno dan juga pengerusi sambutan Hari Kemerdekaan kepada The Malaysian Insight dalam satu temubual baru-baru ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan sama ada kerajaan berniat memadam legasi Dr Mahathir selepas beberapa kejadian tular di media sosial yang memperlihatkan gambar bekas presiden Umno itu “hilang”.
Akhir Ogos lalu, gambar Dr Mahathir tidak termasuk dalam senarai semua perdana menteri Malaysia dalam buku Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 3.
Namun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan cuba mengubah sejarah Malaysia dan menegaskan buku tersebut bukan terbitan kementerian.
Beberapa hari kemudian, viral pula di laman Twitter yang mendakwa upacara penutup Sukan SEA “menghilangkan” gambar Dr Mahathir dalam sebuah video yang ditayangkan kepada penonton di stadium sewaktu nyanyian lagu Lagenda oleh Sheila Majid.
Pengguna media sosial menggunakan akaun @Zizan_ali menulis tweet bagi melahirkan kekecewaannya kerana acara sukan menjadi medan politik kerana cubaan “memadamkan” Dr Mahathir daripada pandangan penonton.
“Kenapa takut dengan Tun sampai skip gambar Tun masa lagu lagenda tu? Tetiba lepas PM ketiga lompat ke PM kelima. Jawabkan please!” Kata dalam status tweetnya pada 31 Ogos lalu.
Perkara tersebut turut diakui Najman yang tidak berpuas hati dengan insiden itu.
“Betul, saya berada di sana semalam. Orang yang beri sumbangan besar negara tiada, dan terus ke gambar Paklah,” katanya yang memakai nama twitter @njmn13 merujuk kepada video sama.
Difahamkan video yang memaparkan nama-nama besar Malaysia hanya boleh dilihat penonton yang dipancarkan di tengah-tengah padang.
Bagaimanapun tiada sebarang penafian oleh pihak penganjur mengenainya.
Tidak cukup dengan itu, kecoh pula di media sosial ketiadaan gambar Dr Mahathir di Galeri Petronas, Suria KLCC.
Ia hanya memaparkan gambar Abdullah Badawi (Pak Lah) dan Najib Razak sementara pada bahagian Dr Mahathir, hanya diletakkan nama tanpa gambar.
Pengguna maya mempersoalkan ketiadaan imej tokoh negara yang dianggap tulang belakang sewaktu Petronas dibangunkan.
The Malaysian Insight meninjau sendiri pameran tersebut mendapati ia bukan seperti digambarkan.
Kira-kira 30 meter dari hadapan pintu masuk galeri di tingkat tiga suria KLCC, di bahagian kiri dilihat tergantung gambar bersama mutiara kata setiap pemimpin.
Terdapat sembilan gambar yang menampilkan beberapa pemimpin. Bagaimanapun, selain Dr Mahathir, gambar perdana menteri ketiga Hussein Onn juga tiada.
Difahamkan, pameran itu bermula 16 Ogos sehingga 17 September ini. Namun cubaan The Malaysian Insight mendapatkan penjelasan gagal kerana pekerja yang bertugas di galeri berkenaan tidak pasti mengenai tema pameran itu.
“Saya tidak pasti. Kami di sini hanya menyediakan tempat untuk pameran. Temanya bukan ditentukan pihak kami. Kena periksa dengan pihak atasan Petronas,” katanya yang enggan dinamakan.
The Malaysian Insight dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak bertanggungjawab untuk penjelasan mengenai tema pameran tersebut.
Sementara itu, pada bahagian hadapan turut menayangkan video mengenai “perjalanan” Petronas yang menampilkan gambar tokoh-tokoh berkaitannya.
Malangnya video tersebut tidak memaparkan gambar Dr Mahathir, hanya nama dengan berlatar belakang gambar menara berkembar tersebut.
Namun, Salleh Keruak nafi pihaknya ada kaitan dan enggan mengulas lanjut perkara tersebut.
“(Mengenai Sukan SEA dan Petronas), saya tidak tahu. Tetapi semasa Hari Kemerdekaan kenapa tiada siapa yang puji saya?” katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut semuka kejadian yang viral itu, Dr Mahathir mengakui tidak sedikitpun terjejas.
“Kalau nak kata saya tiada kaitan dengan Petronas pun tidak apa. Untuk saya tidak apa masalah. Dia boleh padam semua gambar, dia boleh runtuhkan Menara Berkembar (Petronas), Putrajaya supaya semua orang akan lupa.
“Tapi saya ingat orang tidak lupa, tidak payahlah gambar,” kata bekas penasihat Petronas itu.
Dr Mahathir, bekas perdana menteri keempat yang mentabbir kerajaan Barisan Nasional selama 22 tahun itu banyak memberi sumbangan besar kepada negara seperti KLCC, pembangunan Putrajaya dan sistem pengangkutan awam seperti LRT.
Selepas tidak sependapat dengan Najib yang terpalit dengan skandal syarikat sarat hutang 1Malaysian Delevepment Berhad (1MDB), Dr Mahathir bertindak keluar parti dan menubuhkan Bersatu.
Kini, pengerusi Pakatan Harapan itu dilihat menjadi individu paling lantang mengkritik perdana menteri dan mengajak rakyat menukar perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14. – 10 September, 2017.
Komen