PEMIMPIN-pemimpin dunia mengecam serangan masjid di New Zealand hari ini yang mengorbankan 40 nyawa dan mengakibatkan 12 lagi mangsa cedera.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengutuk keras serangan ke atas dua buah masijd itu di Christchurch.
“Saya mengutuk keras serangan pengganas ke atas Masjid Al Noor di #NewZealand dan jemaah Muslim. Semoga Allah mengampuni dosa mangsa dan mangsa yang cedera kembali sembuh,” kata Erdogan menerusi Twitter.
Terdahulu, Perdana Menteri Australia turut mengecam serangan itu yang dipercayai didalangi oleh seorang rakyat dari negaranya.
Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan serangan ke atas orang yang sedang berkumpul untuk beribadah sebagai mengejutkan dan kejam.
“Saya berharap pihak yang terlibat dihukum dengan berat,” katanya dalam satu mesej yang disampaikan kepada Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden.
Presiden Majlis Kesatuan Eropah Donald Tusk menyifatkan berita serangan di New Zealand itu sebagai menakutkan.
“Serangan ganas tidak akan melenyapkan toleransi dan kebaikan yang terdapat di New Zealand,” katanya.
Perdana Menteri Britain Theresa May mengucapkan takziah susulan serangan berdarah di Christchurch.
“Saya sentiasa bersama-sama mereka yang menjadi mangsa serangan keganasan ini.”
Menteri Luar Jerman Heiko Maas berkata negaranya turut terkesan dengan jenayah ganas di Christchurch.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menggelar kejadian itu sebagai usaha kumpulan fanatik dan pelampau yang mahu memusnahkan masyarakat dunia. – AFP, 15 Mac, 2019.
Komen