Suspek serang jemaah di masjid New Zealand dituduh membunuh


Komisioner Mike Bush mengulas perkembangan terbaharu mengenai serangan berdarah ke atas dua buah masjid di Christchurch yang menyebabkan 40 orang maut. – Gambar AFP, 15 Mac, 2019.

POLIS New Zealand mendakwa seorang lelaki atas tuduhan membunuh susulan serangan tembakan di dua buah masjid di Christchurch yang mengorbankan 49 orang hari ini.

Komisioner Mike Bush berkata lelaki itu berusia lewat 20-an dan polis mendakwanya atas pertuduhan membunuh.

“Suspek itu akan dihadapkan ke Mahkamah Christchurch esok pagi,” katanya pada satu sidang media. 

Dua lagi suspek lelaki masih ditahan, namun penglibatan mereka dalam serangan itu tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, polis New Zealand mengeluarkan penduduk yang tinggal di sebuah bangunan kediaman di bandar Dunedin sebagai sebahagian siasatan insiden serangan tersebut.

Polis berkata kediaman itu terletak kira-kira 350 kilometer dari Christchurch, mempunyai ‘kepentingan’ dalam serangan masjid itu.

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak memberi butiran lanjut mengenai perkara itu.

Terdahulu, polis mematikan dua bom yang ditemukan dalam sebuah kereta yang digunakan suspek dalam serangan itu. – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen