Penyerang masjid New Zealand pengganas haluan kanan, kata PM Australia


Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengutuk serangan berdarah di dua buah masjid di Christchurch, selatan New Zealand yang mengorbankan 40 nyawa. – Gambar EPA, 15 Mac, 2019.

SEORANG lelaki bersenjata yang membunuh 49 jemaah di dua buah masjid di New Zealand hari ini merupakan pengganas berhaluan kanan dan memiliki kerakyatan Australia, kata Perdana Menteri Scott Morisson.

“Kita mengecam sepenuhnya serangan hari ini yang dilakukan oleh seorang pelampau, pengganas berhaluan kanan,” kata Morrison pada satu sidang media.

Beliau mengesahkan laporan media bahawa lelaki bersenjata yang menembak jemaah di dua buah masjid di Christchurch, selatan New Zealand merupakan rakyat kelahiran Australia.

Katanya pihak berkuasa Australia menyiasat sebarang kaitan negara itu dengan serangan tersebut, tetapi enggan memberi maklumat lanjut mengenai identiti penyerang itu.

Media Australia melaporkan bahawa penyerang itu berasal dari sebuah pekan di New South Wales di Sydney.

Susulan serangan itu, polis di Australia meningkatkan tahap kawalan dan keselamatan di masjid-masjid di New South Wales.

Polis menyifatkan langkah itu sebagai tindakan berjaga-jaga memandangkan tiada lagi ancaman spesifik terhadap mana-mana masjid atau pusat ibadat.

Setakat ini, polis New Zealand menahan tiga lelaki berhubung serangan tersebut tetapi identiti mereka masih belum didedahkan.

Serangan di Christchurch, selatan New Zealand berlaku ketika jemaah sedang menunggu solat Jumaat kira-kira pukul 1.40 petang.

Kira-kira 20 lagi mangsa turut cedera dalam serangan itu termasuk dua rakyat Malaysia. – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen