49 maut, PM New Zealand sifatkan sebagai serangan pengganas


Anggota keselamatan New Zealand mengawal lokasi insiden serangan tembakan di Christchurch hari ini yang mengorbankan 40 nyawa. – Gambar AFP, 15 Mac, 2019.

SERAMAI 49 orang disahkan terbunuh dan 20 lagi cedera dalam serangan bersenjata di dua buah masjid di Christchurch, kata Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.

Seramai tiga suspek lelaki ditahan setakat ini berhubung serangan yang disifatkannya sebagai serangan terancang oleh pengganas.

“Jelas sekali ia hanya boleh dijelaskan sebagai satu serangan pengganas,” katanya dalam satu siaran langsung.

Beliau juga menyifatkannya sebagai “hari paling gelap buat New Zealand.”

Arden berkata tahap ancaman telah ditingkatkan ke tahap tinggi susulan kejadian serangan itu.

“Kita juga mengetatkan kawalan di sempadan dan lapangan terbang.”

Serangan itu berlaku di masjid Al Noor di Dean’s Road dan Linwood Masjid di Linwood Avenue ketika jemaah sedang menunggu solat Jumaat kira-kira pukul 1.40 petang.

Komisioner Polis New Zealand berkata jumlah sebenar mangsa yang terbunuh adalah 49 orang, iaitu 41 kematian dicatatkan di Masjid Al Noor manakala tujuh lagi mangsa terbunuh di masjid Linwood.

Katanya seorang lagi mangsa meninggal dunia di hospital.

Menurut laporan media yang memetik kenyataan saksi, seorang lelaki berpakaian hitam memasuki masjid dan kedengaran bunyi tembakan.

Pengganas yang melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik tersebut turut merakam dan menyiarkannya secara langsung di media sosial

Insiden tembakan rambang jarang berlaku di New Zealand kerana negara itu mengenakan larangan yang ketat untuk memiliki senjata automatik sejak 1992 selepas kejadian seorang lelaki sakit mental menembak mati 13 orang di pekan South Island di Aramoana.

Serangan seumpama ini, ketika masjid penuh jemaah untuk sembahyang Jumaat, biasa berlaku di Afghanistan dan Pakistan, dan pernah juga membunuh hampir 200 orang di Mesir pada Nov 2017.  – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen