Filem 'Diary for Prasana' beri inspirasi kepada Indira untuk terus berjuang


Low Han Shaun

Indira berharap filem itu akan menjadi inspirasi kepada mereka yang mengalami nasib yang sama sepertinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 September, 2017.

SEBAIK saja Indira Gandhi menyaksikan filem tentang perjuangannya selama 8 tahun, dia terus jadi beremosi.

Filem ‘Diary for Prasana’ katanya telah memberinya semangat dan lebih kuat untuk terus melawan. Indira juga berharap filem itu akan menjadi inspirasi kepada mereka yang mengalami nasib yang sama sepertinya.

“Ianya menarik bagi saya. Saya harap kisah saya ini akan menjadi inspirasi kepada ramai orang untuk berdepan dan menyuarakan masalah mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sejak 2009 Indhira telah berjuang melalui undang-undang apabila bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah (K. Pathmanathan) memeluk agama Islam dan menukar agama ketiga-tiga anaknya kepada Islam diluar pengetahuannya.

Kisah tragis ini bermula apabila Riduan mengambil anak bongsu mereka, Prasana Diksa yang ketika itu masih bayi.

“Saya dapat lihat keluarga saya semakin kuat dan kami tidak akan berada di mana kami sekarang kalau bukan sokongan daripada anak-anak saya.

“Ya, ia akan membantu saya dan menenangkan hati saya. Maksud saya, dalam tempoh 8 tahun itu macam-macam berlaku.

Selepas 8 tahun, keluarga terutama anak lelaki dan anak perempuannya iaitu Tevi Darsiny dan Karan Dinish masih menunggu jawapan mahkamah berkenaan status agama mereka.

“Buat masa ini kami menunggu keputusan mahkamah untuk menentukan agama anak perempuan saya sama ada dia beragama Islam atau Hindu,” katanya.

Bagi Norhayati Kaprawi yang mengarahkan filem itu, kesan undang-undang terhadap kemanusiaan menjadi intipati yang ingin ditonjolkan.

“Ketika saya berbincang dengan Zaid Ibrahim (penerbit), kami mahu tunjukkan kesan undang-undang kepada mereka ini.

“Filem ini bukan untuk tonjolkan hal-hal berkaitan agama tetapi bagi masyarakat melihatnya dari lensa berbeza,” kata Norhayati.

Zaid menambah, “Filem itu bukan tentang agama dan hanya mereka yang bodoh saja akan mengatakan ia filem agama.”

Katanya, dia percaya jika setiap rakyat menonton filem itu, mereka akan tahu penderitaan Indira.

“Masalahnya ialah pemimpin kita.

“Seorang pemimpin yang bertanggungjawab mesti mencari jalan penyelesaian. Ini bukan masalah agama, ini masalah kemanusiaan,” katanya.

Pada April 2009, Kabinet memutuskan bahawa dalam kes melibatkan seorang ibu atau bapa memilih untuk menukar agama, anak-anak mesti terus dibesarkan dalam agama ketika ibu bapa berkahwin. Namun, ia belum dijadikan undang-undang.

Bagaimanapun, pada bulan ini Kabinet telah memutuskan menarik balik cadangan pindaan ke atas Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang akan menghalang penukaran agama anak secara sebelah pihak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata, pindaan itu perlu dibuat untuk mengelakkan percanggahan dalam mana-mana peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan. – 9 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen