Masjid diserang, bandar Christchurch ditutup


Sekurang-kurangnya 9 maut apabila penyerang melepaskan tembakan rambang kepada jemaah yang berkumpul untuk solat Jumaat di sebuah masjid di bandar Christchurch, New Zealand. – Gambar EPA, 15 Mac, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA seorang lelaki bersenjata menyerang masjid yang penuh sesak di bandar New Zealand di Christchurch membunuh beberapa orang pada Jumaat, kata polis, dengan Perdana Menteri Jacinda Ardern menggambarkan tembakan itu sebagai “salah satu hari paling gelap di New Zealand”.

Masjid itu dipenuhi jemaah yang berkumpul untuk solat Jumaat, dan ketibaan ahli pasukan kriket Bangladesh ketika penembak itu melepaskan tembakan.

Media setempat melaporkan sekurang-kurangnya sembilan orang mati dan bandar di Pulau Selatan itu ditutup ketika polis memburu penembak yang masih “aktif”.

“Ini adalah insiden yang sedang berlaku dan kami berusaha mengesahkan fakta, namun kami dapat mengesahkan terdapat sejumlah kematian,” kata pesuruhjaya Mike Bush.

Beliau berkata seorang lelaki berada dalam tahanan tetapi kemungkinan terdapatnya pelaku lain dan pegawai bersenjata sedang menangani beberapa kejadian.

“Polis bertindak balas dengan keupayaan penuh untuk menangani keadaan, tetapi risiko masih tinggi,” kata Bush

Ardern berkata, beliau tidak dapat mengesahkan jumlah kematian, mengatakan peristiwa masih berlaku.

Beberapa orang yang terselamat dalam kejadian serangan masjid di Christchurch, New Zealand yang menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan maut. – Gambar EPA, 15 Mac, 2019.

“Sudah jelas bahawa ini adalah hari paling gelap di New Zealand,” katanya kepada pemberita.

“Jelas sekali, apa yang berlaku di sini adalah perbuatan keganasan yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Masjid al Noor yang terletak di pusat bandar Christchurch dipenuhi dengan jemaah ketika serangan itu terjadi, begitu juga masjid kedua di pinggir bandar Linwood.

Seorang lelaki berketurunan Palestin di masjid, yang tidak mahu memberikan namanya, berkata melihat seorang lelaki ditembak di kepala.

“Saya mendengar tiga tembakan kemudian selepas kira-kira 10 saat ia bermula sekali lagi, ia mestilah automatik, tidak mungkin ada yang boleh menarik pemicu sepantas itu,” katanya kepada AFP.

“Kemudian orang berlari keluar, ada yang berlumuran darah.”

Saksi lain memberitahu stuff.co.nz beliau sedang bersembahyang di masjid Deans Ave ketika mendengar tembakan dan melihat isterinya terbaring mati di lorang pejalan kaki di luar ketika beliau melarikan diri.

Seorang lelaki lain berkata melihat kanak-kanak ditembak.

“Ada mayat berdekatan saya,” katanya.

Seorang saksi memberitahu Radio New Zealand beliau mendengar tembakan dilepaskan dan empat orang terbaring di atas tanah, dengan “darah di mana-mana”.

Laporan yang tidak disahkan berkata penembak itu memakai pakaian ala tentera.

Pesuruhjaya Bush berkata, semua sekolah di bandar itu ditutup sebagai tindak balas kepada “kejadian senjata api serius yang sedang berlaku”.

“Polis mendesak sesiapa sahaja di pusat bandar Christchurch mengelak daripada berada di jalanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bangunan di bandar pusat, termasuk Pejabat Awam dan Perpustakaan Pusat, juga ditutup.

Majlis bandar raya menawarkan talian bantuan kepada ibu bapa yang mencari anak-anak yang menghadiri perhimpunan perubahan iklim secara besar-besaran berhampiran kawasan itu.

“Tolong jangan cuba dan datang dan kumpulkan anak-anak anda sehingga polis mengatakan selamat bagi orang untuk masuk ke pusat bandar,” kata mereka.

Tiada maklumat rasmi mengenai mangsa tetapi seorang jurucakap pasukan kriket Bangladesh berkata tiada pemain yang tercedera.

“Mereka selamat, tetapi mereka terkejut secara mental. Kami meminta pasukan untuk terus berada di hotel,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata serangan itu berlaku ketika beberapa pemain Bangladesh turun dari bas untuk memasuki masjid.

Beliau berkata kebanyakan pemain pergi ke masjid.

Beliau berkata lembaga kriket Bangladesh berhubung dengan pihak berkuasa kriket New Zealand dan akan mengambil keputusan lanjut selepas berunding.

Insiden tembakan besar-besaran jarang berlaku di New Zealand, yang mengetatkan undang-undang senjata api bagi menghalang akses kepada senapang separa automatik pada 1992, dua tahun selepas seorang lelaki bermasalah mental menembak mati 13 orang di bandar Aramoana, Pulau Selatan.

Bagaimanapun, bagi yang berusia lebih 16 tahun boleh memohon lesen senjata api standard selepas mengambil kursus keselamatan, yang membolehkan mereka membeli dan menggunakan senapang tanpa pengawasan. – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen