Polis belum buat tangkapan kes buang sisa kimia di Sg Kim Kim


Asila Jalil

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata belum ada suspek ditangkap berhubung kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2019.

POLIS belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata polis belum mengeluarkan kenyataan mendakwa mereka ada membuat tangkapan suspek, menambah setakat ini 51 laporan polis sudah dibuat.

“Kami tidak kata begitu (ada tangkapan). Ada pihak lain menyebutnya, tetapi polis tidak buat sebarang tangkapan,” katanya kepada wartawan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

Laporan terdahulu berkata tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang ditahan kerana disyaki membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim.

Salah seorang suspek ialah pemilik loji memproses kimia, dan seorang lagi pemilik kilang proses barangan terpakai. Kedua-duanya berusia 50-an.

Suspek ketiga ialah pekerja berusia 40-an.

Pengarah Alam Sekitar Johor Mohammad Ezzani Mat Salleh berkata suspek pertama ditahan pada petang Ahad, dan dua lagi pada Isnin.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata salah seorang daripada suspek itu akan didakwa di mahkamah seawal hari ini.

Yeo berkata kertas siasatan yang sudah lengkap dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk dinilai dan dipertimbangkan.

Fuzi berkata beliau bertemu dengan ketua polis Johor yang mengesahkan 51 laporan polis dibuat berhubung perkara itu dan siasatan itu digiatkan.

Katanya, beliau tidak dimaklumkan berapa jumlah syarikat terbabit dalam perkara itu tetapi polis cuba untuk mengenal pasti siapa terbabit dengan bekerjasama daripada agensi kerajaan berkaitan.

“Saya tidak dimaklumkan jumlah mereka yang memberi keterangan tetapi kami sedang menggiatkan siasatan. Kimia itu juga masih belum disahkan,” katanya. – 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen