Mahkamah Jepun tangguh hukuman penjara pengasas bitcoin MtGox


Bekas CEO MtGox, Mark Karpeles didakwa terlibat dengan kehilangan 850,000 bitcoin (bernilai setengah bilion dolar ketika itu), misteri yang masih belum dapat diselesaikan. – Gambar EPA, 15 Mac, 2019.

BEKAS ketua bursa bitcoin MtGox, Mark Karpeles, pada Jumaat menerima penangguhan hukuman penjara selama dua setengah tahun oleh mahkamah Jepun.

Mahkamah menangguhkan hukuman itu selama empat tahun bagi lelaki warga Perancis yang berusia 33 tahun itu yang mendakwa tidak bersalah sepanjang prosiding itu.

Menurut media tempatan, beliau didapati tidak bersalah melakukan penyelewengan tetapi bersalah melakukan manipulasi data komputer di bursa MtGox, yang pada satu ketika mendakwa mengendalikan sekitar 80% daripada semua transaksi bitcoin global.

MtGox ditutup pada 2014 selepas 850,000 bitcoin (bernilai setengah bilion dolar ketika itu) hilang daripada simpanan, misteri yang masih belum dapat diselesaikan.

Kehilangan itu menyebabkan ramai pelabur marah, menggegarkan komuniti mata wang maya, dan menjejaskan keyakinan terhadap keselamatan bitcoin. – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen