Polis Indonesia temui 300kg bom di rumah suspek pengganas


Polis Indonesia memusnahkan bahan letupan dan bahan membuat bom yang ditemui di rumah seorang suspek pengganas di Sibolga, Sumatera. – Gambar AFP, 15 Mac, 2019.

POLIS Indonesia semalam menemui sejumlah besar bahan letupan yang dipercayai ada kaitan dengan suspek pengganas di mana isterinya meletupkan diri sendiri dan seorang anak susulan dikepung di rumahnya.

Penemuan kira-kira 300kg bahan letupan siap dan bahan membuat bom membangkitkan ketakutan bahawa serangan besar-besaran sedang dirancang, sebulan sebelum pilihan raya umum dan kurang setahun selepas Indonesia digegaskan dengan gelombang pengebom nekad.

Letupan bunuh diri awal pagi Rabu itu berlaku selepas polis menahan suaminya, Abu Hamzah yang dikenal pasti sebagai ahli Jemaah Ansharut Daulah (JAD).

Rangkaian pengganas berkait dengan militan Islamic State itu disalahkan atas serangan pada Mei di kota kedua terbesar Indonesia, Surabaya dalam satu serangan terburuk di negara majoriti Islam itu.

Penguat kuasa mengepung rumah militan yang ditahan itu di Sibolga, Sumatera ketika konfrontasi itu bermula.

Sepanjang hampir 12 jam dikepung, isteri militan itu melemparkan bahan letupan ke arah pegawai keselamatan dan mencederakan pegawai polis, kata pihak berkuasa.

Mereka kemudian menemui sebahagian mayat wanita itu dengan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak.

Polis berkata mereka sangka dua anak pasangan itu mungkin terbunuh.

“Kami masih cuba mengenal pasti secara rasmi isteri itu kerana mayatnya berkecai,” kata jurucakap polis Dedi Prasetyo.

Polis berkata mereka menemui sejumlah besar bom dan bahan letupan di rumah pasangan itu dan satu lagi rumah di bandar yang sama.

Semalam, polis memusnahkan bahan itu di kawasan terkawal. – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen