Boeing henti sementara penghantaran pesawat 737 MAX


Boeing menangguhkan semua penghantaran pesawatnya yang paling laris, 737 MAX ketika penyiasat Perancis menyiasat kotak hitam daripada pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas pada Ahad lalu. – Gambar fail EPA, 15 Mac, 2019.

SYARIKAT gergasi Amerika Syarikat (AS) Boeing berkata ia menangguhkan semua penghantaran pesawatnya yang paling laris, 737 MAX ketika penyiasat Perancis menyiasat kotak hitam daripada pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas dengan semua 157 penumpang dan anak kapal terkorban, baru-baru ini.

MAX tidak dibenarkan terbang di seluruh dunia susulan kejadian itu – insiden kedua membabitkan model sama dalam tempoh lima bulan.

“Kami menghentikan seketika penghantaran 737 MAX sehingga kami dapat mencari penyelesaiannya,” kata jurucakap Boeing, menambah penghasilan akan diteruskan tetapi akan menilai kapasitinya.

Agensi keselamatan udara BEA Perancis mengesahkan ia menerima kotak hitam daripada pesawat itu, yang baru saja berusia empat bulan dan terhempas hanya beberapa minit selepas berlepas dari Addis Ababa pada Ahad lalu.

Bermula Jumaat, penyiasat BEA akan cuba mendapatkan maklumat daripada rakaman suara kokpit dan data penerbangan yang rosak dalam nahas itu.

Ethiopian Airlines, syarikat penerbangan terbesar Afrika menghantar kotak hitam itu ke Perancis kerana ia tidak mempunyai kelengkapan untuk menganalisis data itu.

Maklumat itu akan dapat membantu memberi 90% penjelasan tentang nahas itu, menurut pakar penerbangan.

Pada Rabu, pihak berkuasa AS berkata bukti baharu menunjukkan persamaan antara nahas di Ethiopia dan pesawat Lion Air di Indonesia pada Oktober lalu yang menyebabkan 189 maut. – AFP, 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen