TIADA kematian dilaporkan akibat pencemaran sisa kimia beracun di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, kata Dr Dzulkefly Ahmad.
Menteri kesihatan itu menafikan satu catatan di Facebook mengatakan kejadian pencemaran itu menyebabkan berlaku kes kematian.
“Tiada kematian, walaupun di Facebook ada yang mengatakan seorang kanak-kanak meninggal dunia,” katanya ketika membahaskan usul tergempar untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.
Beliau menamakan akaun Facebook menggunaka nama Normala Sudirman yang menyebarkan berita palsu itu.
“Ini perbuatan tidak bertanggungjawab,” kata Dzulkefly, sambil menggesa orag ramai supaya tidak mempercayai maklumat yang tidak sahih.
Setakat Selasa lalu sehingga semalam, seramai 1,171 mangsa diberi rawatan pesakit luar manakala 397 orang dimasukkan ke hospital.
“Tujuh puluh kes yang ditahan di hospital sudah dibenarkan balik. 13 orang diletakkan berada dalam ICU, tetapi setakat pagi tadi, hanya tujuh masih dirawat di ICU.”
Pembuangan bahan kimia beracun secara haram ke dalam Sungai Kim Kim minggu lalu menjejaskan kesihatan ribuan penduduk Pasir Gudang, sebahagian besarnya pelajar sekolah di sepanjang sungai itu. – 14 Mac, 2019.
Komen