Tiada keperluan pindah penduduk Pasir Gudang, kata PM


Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad, yang disertai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebelum itu diberikan taklimat mengenai kejadian dan operasi bencana di Pasir Gudang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mac, 2019.

TIADA keperluan untuk memindahkan penduduk di kawasan terlibat pencemaran sisa beracun di Pasir Gudang, Johor, kata Dr Mahathir Mohamad, kerana keadaan kini terkawal.

Menurut perdana menteri, kerajaan juga merasakan keadaan tidak akan jadi lebih buruk berbanding sekarang.

“Kita tidak boleh hendak kata semuanya sudah selesai tetapi kita juga tidak fikir ia akan jadi lebih buruk daripada sekarang,” katanya selepas itu melawat mangsa di Hospital Sultan Ismail di Johor Bharu.

Dr Mahathir, yang disertai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebelum itu diberikan taklimat mengenai kejadian dan operasi bencana di Pasir Gudang.

Walaupun menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Pasir gudang, perdana menteri mengingatkan semua pihak agar terus berhati-hati kerana pencemaran belum berakhir.

“Kita tidak perlu isytihar darurat, tidak perlu pemindahan, tetapi kita perlu berhati-hati.

“Mereka yang ditugaskan untuk mengawal keadaan ini mesti bersedia menangani masalah (kesan pencemaran) yang berlaku,” katanya.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di Johor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mac, 2019.

“Saya sudah melawat mangsa-mangsa, dan walaupun ada yang kritikal, doktor di sini tahu bagaimana nak merawat. Saya yakin dengan mereka dan yakin keadaan dalam keadaan terkawal.”

Dr Mahathir juga berkata tiada perancangan untuk memindahkan penduduk dari kawsan tercemar buat masa ini.

“Masih ada orang berjalan sana-sini. Ada yang terjejas, ada yang tidak. Asap beracun boleh tersebar di mana-mana saja. Kalau berlaku lagi kejadian (asap beracun), pihak berkuasa tahu bagaimana nak kawal.”

Perdana menteri berkata pihak berkuasa sedang menyiasat punca sisa bahan kimia beracun itu.

“Kita ada undang-undang berkenaan pembuangan sisa beracun secara haram.

“Kita faham perkara ini serius. Ini melibatkan gas beracun, kita kena kaji undang-undang.”

Sehingga semalam, pihak berkuasa mengesahkan kawasan terjejas merebak sehingga 15 kilometer radius dari tempat sisa kimia beracun itu dibuang di Sungai Kim Kim.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mengesahkan lapan sebatian kimia berbahaya dibuang di sungai itu minggu lalu.

Pembuangan sisa kimia beracun itu setakat tengah hari tadi menyebabkan lebih 2,000 penduduk setempat mendapatkan rawatan, lapor media, memetik kenyataan exco kesihatan, alam sekitar dan pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal. – 14 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen