POLIS India menahan sepuluh pelajar universiti kerana bermain permainan tembak-menembak popular dalam talian, PUBG.
Seorang menteri menyifatkan permainan itu sebagai “syaitan di setiap rumah”.
Kesemua pelajar itu ditangkap di Gujarat, di mana pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan perngharaman ke atas permainan itu pada minggu lalu. Ini kerana permainan itu dibimbangi memberi kesan kepada tingkah laku dan bahasa pemain.
Pelajar-pelajar berkenaan dilepaskan dengan jaminan pada hari yang sama, kata Inspektor V. S. Vanzara hari ini.
Seorang lagi pegawai polis, Rohit Raval, memberitahu akhbar Indian Express permainan PUBG membuatkan pelajar-pelajar itu sangat ketagih dan leka sehingga tidak sedar kedatangan polis.
Gujarat merupakan satu-satunya negeri di India yang mengharamkan permainan yang dimuat turun lebih 100 juta kali di seluruh dunia.
Ibu bapa juga berkata permainan tersebut mengganggu pelajaran anak mereka dan menggalakkan keganasan.
PUBG sering disamakan dengan filem The Hunger Games dan boleh dimuat turun secara percuma dalam talian. – AFP, 14 Mac, 2019.
Komen